Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 13 Januari 2016

Cik Pemanis Hati - Bab 8

Bab 8
“Lea, macam mana ni? Aku tak naklah jumpa dia. Isy, apasal dia nak jumpa aku ni?” soal Hana penuh kebimbangan sambil mundar-mandir di depan lif.
Mereka masih berada di tingkat tiga. Semua pekerja sudah kembali ke pejabat masing-masing.
Lea seolah-olah masih tidak percaya dengan apa yang dijelaskan oleh Hana baru sebentar tadi. “Hmm... Ikut pandangan akulah, aku rasa kau memang kena pergi jumpa dia sekarang. Ni dah lima minit berlalu. Kau nak kena bom dengan dia ke kejap lagi?”
Hana menghentikan langkahnya dan terus memandang Lea. “Tak ada cara lain ke selain nak kena jumpa dia? Aku betul-betul tak nak jumpa dia.”
“Kenapa kau tak nak jumpa dia? Dia tu CEO baru kita tau. Kau bertuah dapat jumpa dia masa hari pertama dia mula jadi CEO. Kau ingat senang ke kerani macam kita ni nak jumpa ‘orang besar’ macam dia tu? Come onlah, Hana. Lagipun barang dia ada dengan kau, kan? Kau tak nak bagi balik kat dia ke?” soal Lea sambil merenung muka gelisah Hana.
Erghhh... Aku memang nak bagi pun. Tapi, aku tak sangka dia CEO baru kat sini. Aku ingatkan nak minta cousin aku yang lelaki tu hantar kat rumah dia, tapi tak sangka jumpa dia kat sini,” keluh Hana.
“Ha... Siapa suruh kau tak hantar terus hari tu? Kan ada alamat rumah dia kat situ,” bebel Lea.
Hana terus menggaru kepalanya yang ditutupi tudung bawal hijau. “Aku tak nak hantar sendiri. Kebetulan cousins aku tu tak dapat nak temankan aku hari tu sebab ada hal. Kami ingatkan nak hantarlah dalam minggu ni ke. Haih... Kenapalah dia muncul tiba-tiba dan jadi CEO kita? Nek Garang dah nak bersara ke? Tiba-tiba pulak aku harapkan Nek Garang terus-menerus jadi CEO kita.”
Hana benar-benar berasa takut, risau, segan dan malu untuk berdepan dengan lelaki yang digelarnya Mr. Tak Ada Adab itu. Dia benar-benar takut akan kemungkinan yang bakal terjadi. Adakah lelaki itu akan memecatnya gara-gara dia menegur silap lelaki itu minggu lepas? Atau mahu memecat aku sebab aku lambat pulangkan barang dia? Isy, mintak dijauhkan. Bukan senang nak cari kerja sekarang ni. Kalau dia nak pecat aku pun, aku kena merayu minta tempoh sebulan untuk cari kerja lain dulu. Aik, Hana, sampai ke situ kau fikir ya?
“Jumpa ajelah dia. Baru kau tahu apa tujuan sebenar dia nak jumpa kau. Mana tau dia nak tanya pasal barang dia yang tertinggal tu. Cepatlah!” Lea terus menarik lengan Hana sebaik saja pintu lif tiba di tingkat tiga itu.
Mahu tidak mahu Hana masuk ke dalam lif bersama Lea. Lea tekan butang bernombor lima dan lapan.
“Macam mana kalau dia nak jumpa aku sebab dia nak pecat aku?” luah Hana penuh bimbang.
“Isy, tak adalah dia nak pecat kau terus kan. Kau jumpa dia dulu dan dengar apa yang dia nak cakap. Think positive, Hana,” kata Lea lalu menepuk bahu kanan Hana.
Lif tiba di tingkat lima.
“Aku masuk pejabat dulu. Kang tak pasal-pasal pulak Puan Iman menyinga tengok aku tak ada. Macam kau tak apalah. Puan Iman sendiri dah dengar Tengku Adam nak jumpa kau kan. So, good luck!” Lea melangkah keluar dari lif sebaik saja menghabiskan ayatnya. Dia siap melambai-lambai girang ke arah Hana yang lemah longlai sebelum pintu lif kembali tertutup.
“Argh... Apa yang perlu aku buat sekarang ni?” Hana mula bercakap kepada diri sendiri. Mujurlah tiada sesiapa di dalam lif itu melainkan dia sendiri.
Lif berhenti di tingkat enam. Hana terkejut melihatkan Farah di depan lif. Farah terus menarik muka masam sebaik saja melihatkan dirinya berada di dalam lif. Farah masuk sambil menjeling tajam ke arah Hana. Hana terus menundukkan muka.
Pintu lif tertutup. Suasana hening mengisi ruang di dalam lif itu. Mereka berdua berdiri sebelah-menyebelah. Sesekali Farah mengerling tajam ke arah Hana. Dia tahu Hana ingin pergi berjumpa Tengku Adam dan motif dia ke tingkat lapan itu juga disebabkan mahu menyiasat apa yang lelaki itu ingin cakapkan kepada Hana. Dia tidak menyangka pula boleh terserempak dengan Hana di dalam lif itu.
Tiba-tiba iPhone Farah berdering tanda panggilan masuk. Dia terus menjawab panggilan itu sambil matanya masih tidak lepas memerhati Hana.
“Ya, Zetty. Ada apa? I dalam liflah ni. Well, cuba you teka I satu lif dengan siapa? Ahaks! You taulah siapa yang I maksudkan kalau bukan perempuan kolot tu. Hmm, I’m not sure. Tapi, I rasa dia akan dibuang kerja kut. Perempuan kolot macam dia mana boleh kerja kat sini. Ini kan syarikat kosmetik, mestilah penampilan selalu kena cantik dan bergaya. I rasa Tengku Adam tak suka tengok gaya dia ni kut. Anyway, apa-apa pun nanti I beritahu you ya? Bye, darling. Muacks!” Farah siap memuncungkan mulutnya tanda muacks ke arah hujung skrin iPhonenya itu.
Hana terkedu mendengarkan perbualan antara Farah dan Zetty. Sampai hati dia hina aku ni perempuan kolot. Depan aku pulak tu. Dah tu cakap aku bakal dibuang kerja. Dia ingat dia tukang tilik ke nak meramal aku ni bakal dibuang kerja? Aku ni kolot sangat ke?
“Jangan nak bangga sangatlah Tengku Adam nak jumpa you. Sebab dia akan pecat you. Selamat mengemas barang-barang you petang nanti,” ujar Farah sengaja mahu menyakitkan hati Hana. Nampak sangat Farah dengki dan tidak berpuas hati terhadap Hana.
Lif tiba di tingkat lapan. Pintu lif terbuka. Farah terus melangkah keluar dengan jalan ala-ala model itu.
Hana bungkam di dalam lif. Betul ke aku bakal kena buang kerja? Hana, tolong jangan berfikir negatif. Ingat pesan Lea. Jumpa dulu dan dengar apa Mr. Tak Ada Adab tu nak cakapkan. And, think positive. Okey, aku akan jumpa dia!

Hana duduk di depan meja CEO itu sambil menundukkan muka. Sejak dia masuk 10 minit yang lepas, lelaki itu masih tidak mengeluarkan suara dan hanya menggunakan tangannya sebagai isyarat meminta Hana duduk dulu. Hana sudah beberapa kali menghuraikan hujung tudungnya dan membentuknya bulat semula. Dia tidak tahu mahu berbuat apa dalam keadaan sunyi sepi begitu. Adam nampak begitu sibuk kerana matanya tidak lepas memandang skrin iMac dan mengetuk keyboard dari tadi.
Hana mengangkat muka dan curi-curi pandang ke arah Adam. Apa yang sibuk sangat tu sampai tak cakap langsung kat aku? Dah 10 minit aku dalam bilik pejabat dia ni, dia buat tak endah aje kat aku lepas bagi isyarat duduk tadi. Dia ingat aku tak ada kerja ke kat bawah tu? Banyak dokumen yang aku kena periksa dan taip. Bising pulak Puan Iman tu nanti kalau aku lambat siapkan kerja hari ni.
Dia ni bos yang thoughtful ke tidak? Dia big boss kat sini, tak apalah kan kalau nak lambat-lambat buat kerja pun. Aku ni cuma pekerja bawahan dan aku haruslah menjalankan tanggungjawab aku sebagai seorang pekerja yang bergaji RM1,100. Dia ni suka ke pekerjanya lambat siapkan kerja? Isy.
Adam mengerling gadis yang sedang menundukkan muka sambil mengikat bulat hujung tudungnya berulang kali. Terangkat kedua-dua belah kening Adam memandangnya. Mulutnya hampir membentuk O apabila melihat cara gadis itu mengikat bulat hujung tudungnya. Terangguk-angguk kecil pula dia. Ooo... Macam tu rupanya dia bulatkan hujung tudung tu, bisik hati kecilnya.
Apabila Hana mengangkat mukanya, Adam terus memandang semula skrin iMac itu. Pandang apa pun dia tak tahu sebab tiada apa-apa kerja pun yang dia lakukan sejak gadis tudung bulat itu masuk. Dia menaip entah apa-apa di situ, sekadar nak tunjuk dia sibuklah sangat. Hakikatnya dia tidak tahu bagaimana untuk memulakan perbualan dengan gadis itu memandangkan sebelum ini mereka berdua pernah berselisihan faham. Jadi, pertemuan mereka tidaklah begitu baik untuk dia memulakan perbualan kali ini.
Hana merenung hujung tudungnya yang berbentuk bulat itu. Entah berapa lama lagilah dia perlu merenung hujung tudung bulatnya itu. Dah naik juling matanya ini. Dan hampir terbelit jemarinya kerana asyik menghurai dan mengikat bulat hujung tudungnya berulang kali. Dah macam robot pula asyik ulang benda yang sama.
Mr. Tak Ada Adab ni panggil aku ni disebabkan apa? Kalau disebabkan barang dia tu, cakap ajelah kan. Ini dari tadi tak keluar sepatah perkataan pun. Atau nak aku mulakan perbualan dulu? Hana melepaskan hujung tudung bulatnya. Dia mula duduk tegak dan pandang lelaki yang masih kelihatan sibuk itu.
“Assalamualaikum.” Eh, apasal mulut aku ni tiba-tiba nak bagi salam ni? Dah buang tabiat ke apa?
Adam berhenti menaip dan terus memandang Hana.
“Waalaikumussalam, Cik Nur Hana,” jawab Adam lancar dan jelas.
Amboi, ingat juga dia nama si tudung bulat ni. Nampak sangat ke aku ni asyik ulang sebut nama dia dalam hati sejak bertembung di depan lif tadi? Kononnya tak nak terlupa. Adam merenung mata Hana yang kelihatan gelisah itu.
Hana gelisah direnung oleh Adam yang ternyata sekali sedang menumpukan perhatian kepadanya. Tambahan pula dia berasa malu kerana tiba-tiba saja dia memberi salam padahal dia sudah duduk lama di dalam bilik itu. Macam tak kena pulak. Tapi, tak salah pun nak bagi salam kan. Bukannya aku mencarut pun. Okey, Hana. Cepat tanya dia dan dengar apa yang dia cakap. Lepas tu blah terus. The end.
“Ermm... Kalau Tengku tak keberatan, boleh tak saya nak tahu apa tujuan Tengku nak berjumpa dengan saya ni?”
Fuh, lega! Akhirnya keluar jugaklah ayat dari mulut aku ni ha. Hana memberanikan diri membalas pandangan Adam. Gugup jugalah dia tatkala memandang wajah tampan persis lelaki Melayu terakhir itu. Terasa berdegup kencang pula jantung ini. Aku ni dah kenapa?
“Saya rasa awak sendiri boleh agak apa tujuan utama saya nak berjumpa dengan awak, kan?”
 Alah, berteka-tekilah pulak Mr. Tak Ada Adab ni. Aku pun tak pasti kenapa dia nak jumpa aku. Sama ada mahu memberi ceramah mengenai teguran aku terhadap sikapnya yang tidak meminta maaf selepas melanggar bahu aku atau disebabkan barang dia yang tertinggal di kerusi food court KLCC tempoh hari. Hana mengomel dalam hati. Nak mengomel secara terang-terangan tak boleh pula. Nanti tidak pasal-pasal percuma saja kena sembur dengan Mr. Tak Ada Adab ni. “Maksud Tengku?”
Adam menghembus nafas berat. Si tudung bulat ni saja aje kan nak buat aku hilang sabar. Dah tahu, tapi buat-buat tak tahu pulak.
“Kamera saya mana?” Akhirnya Adam bertanya.
“Kamera apa?” Sengaja Hana buat-buat tidak tahu. Memang sengaja dia menempah masalah dengan bos barunya ini.
Wajah Adam berubah bengang. “Aih, kamera yang tertinggal kat kerusi food court KLCC Sabtu lepas tu. Awak dah lupa ke buat-buat lupa kita duduk semeja hari tu? Atau awak tak nak pulangkan kamera saya tu?”
Hana hampir tersenyum mendengarkan kata-kata berbaur sindiran itu. Boleh pulak kan cakap tujuan utama dia panggil aku ke bilik CEO yang serba mewah ni. Ingatkan nak terus membisu dan berteka-teki saja. Tapi, kalau bukan kamera dia yang mahal tu kat aku, jangan haraplah aku boleh masuk dalam bilik CEO. Ini kali pertama aku jejakkan kaki ke bilik ini, apatah lagi tingkat lapan ini, sepanjang bekerja di sini.
“Saya tak lupa, cuma tak pasti. Jangan risau. Saya memang nak pulangkan kat Tengku hari tu, tapi disebabkan ada masalah sedikit hari tu, saya tak jadi nak hantar. Lagipun ada alamat rumah Tengku kat dalam beg kamera tu. Saya berkira-kira nak hantarlah dalam minggu ni, tapi tak sangka Tengku ni CEO baru kat sini,” jelas Hana tanpa rasa gugup.
Sorrylah aku nak simpan lama-lama kamera dia tu. Dia ingat aku ni jenis yang ambik hak orang ke? Mahal pulak tu. Isy.
“Baguslah awak tak lupa. Jadi, bila saya boleh dapat balik kamera saya tu?” soal Adam tidak sabar.
Dia memang tidak sabar mahu mendapatkan kembali kamera kesayangannya itu. Kamera itu ibarat nyawanya sendiri. Tanpa kamera itu, dia merasakan hidupnya kurang lengkap. Ia ibarat nasi lemak tanpa sambalnya.
“Esok saya akan bawak dan pulangkan pada Tengku,” ujar Hana.
No! Saya nak sekarang,” tegas Adam.
Berkerut muka Hana mendengarkan permintaan Adam itu. “Tapi, kamera Tengku tu ada kat rumah saya. Bagaimana saya nak bagi kat Tengku sekarang ni?”
“Awak ambik sekarang,” arah Adam tanpa berfikir panjang.
Mulut Hana terus ternganga. “Tapi, sekarang dah nak jam 12.30 tengah hari.”
So?”
Hana terkesima dengan balasan so lelaki itu. Dia tak faham ke maksud aku? Ke buat-buat tak faham? Dah masuk waktu lunchlah. Dahlah perut aku ni lapar sangat-sangat sebab tak sempat nak sarapan pagi tadi. Mana sempat gara-gara tak nak datang lambat lagi. Isy. Masalah betullah dia ni!
“Kan dah masuk waktu lunch. Dan lepas lunch saya nak kena cepat-cepat siapkan kerja. Jadi, saya rasa lebih baik esok saja saya pulangkan kamera Tengku,” kata Hana lagi sedaya upaya cuba berkompromi dengan Adam.
Adam bingkas bangun dari kerusinya dan terus menuju ke arah Hana.
Hana yang masih duduk, kaku di situ. Terkejut juga dia melihatkan Adam bangun secara tiba-tiba. Dah tu datang dan berdiri betul-betul di sisinya. Hana tidak pasti mahu bangun atau duduk saja di situ. Berdebar pula rasanya menunggu apa yang ingin diperkatakan oleh Adam dalam keadaan jarak di antara mereka yang begitu dekat.
“Awak boleh bagi jaminan tak, Monalisa saya tu akan selamat dalam jagaan awak sampai hari esok?”
Berkerut dahi Hana mendengarkan nama Monalisa. Minah dari planet manalah pulak yang dia sebutkan ni? Setahu aku, tak ada manusia lain selain aku saja di rumah sewa aku tu.
“Errr... Siapa Monalisa tu?” tanya Hana penuh berhati-hati.
Adam terus membongkokkan sedikit badannya sambil memeluk tubuh. Mukanya nampak agak serius.
Hana spontan mengundurkan badannya ke belakang sambil mendongak memandang perfect figure di hadapannya. Minyak wangi Gucci Guilty yang dipakai oleh lelaki itu benar-benar membuatkan dia khayal seketika. Amboi, Hana, sampai khayal kau ya!
“Monalisa tu nama kamera saya. Dia ibarat nyawa saya. Kalau tak ada Monalisa, saya jadi tak tentu arah. Jadi, sekarang awak faham kan kenapa saya nak kamera saya tu secepat yang mungkin?”
Heh, aku ingatkan siapalah Monalisa tu. Rupa-rupanya kamera dia. Bikin cemas aje.
“Faham. Tapi, saya berharap Tengku boleh bagi masa pada saya sehingga esok untuk kembalikan Monalisa. Saya janji saya akan pastikan tidak ada sedikit pun kerosakan pada Monalisa. Percayalah. Insya-Allah,” kata Hana penuh yakin. Memang dia cuba meyakinkan CEO baru yang agak aneh ini, menamakan barangnya sebagai Monalisa. Kalau bagi nama kat haiwan peliharaan tak apalah jugak. Ini kamera kut.
Adam menegakkan badannya semula sambil kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam kocek seluar. Matanya masih memandang Hana yang menunggu jawapannya. Nak percaya si tudung bulat ni ke tidak? Entah-entah dia dah jual Monalisa aku tu. Isy, tak sanggup aku kehilangan Monalisa. Tetapi, gadis ini nampaknya berdegil juga nak pulangkan esok dan bukannya hari ini. Boleh percaya ke?
“Percaya? Kenapa saya perlu percaya awak Cik Hana?”
Amboi, mengancam sungguh soalan Mr. Tak Ada Adab ni. Dah mula dah perangai dia yang tak ada adab tu. Isy. “Sebab saya pekerja tetap kat sini. Semua tentang diri saya ada dalam simpanan syarikat. Jadi, kalau saya nak menipu sekalipun, Tengku boleh aje gunakan segala maklumat tentang diri saya tu dan buat laporan kat polis, kan?”
Berani saja Hana mengeluarkan kata-kata sebegitu. Berani, tapi rasa berdebar masih terasa. Takutlah jugak sebenarnya. Tapi, buat-buat berani. Berani kerana tak sanggup ulang-alik dari Adam Group dan rumah semasa makan tengah hari. Mana ada tenaga. Lepas tu macam buang masa aku aje. Macamlah esok tak boleh. Isy.
“Okey. Saya akan bagi masa sampai esok saja. Pagi-pagi esok awak kena jumpa saya kat sini dan serahkan Monalisa. Awak dengar dan faham tak?”
“Ya, Tengku. Jadi, saya nak minta diri dulu balik ke pejabat. Esok saya akan datang sini balik dan serahkan Monalisa,” janji Hana dan terus bangun dari kerusi. Terketar-ketar tangannya menolak kerusi, masuk separuh ke bawah meja. Kini dia berdiri berhadapan dengan Adam yang sejak tadi memang tidak lepas-lepas memandangnya.
“Okey,” balas Adam lalu kembali ke mejanya. Dia terus duduk.
“Assalamualaikum. Bye.” Sebaik saja menghabiskan kata-katanya, Hana terus saja meluru keluar.
“Waalaikumussalam.” Adam tersenyum sendiri selepas membalas salam itu walaupun Hana sudah keluar.
Si tudung bulat ni memang luar biasa. Memang sesuai dengan gelaran yang diberikan. Si tudung bulat. Adam tersengih sambil menggeleng kecil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan