Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Rabu, 20 Januari 2016

Lelaki Penuh Kejutan - Bab 1

selimut kau ayah tarik. Dengan seluar kau sekali ayah londeh sampai bogel.” Pak Awi sudah bercekak pinggang.
Mata Fadil automatik celik. Dia turunkan selimut perlahan-lahan setakat bawah mata dan perhati susuk tubuh ayahnya. Nasib baik kulit masih sawo matang. Dengan malas dia bangkit, duduk tercongok sambil menggenyeh mata. Memang tidak lena tidurnya kalau asyik kena kacau sahaja.
“Sekarang dah pukul berapa, ayah?”
“7.00. Dah, pergi mandi cepat. Sekejap lagi ada perkara yang ayah nak minta tolong dengan kau sikit,” balas Pak Awi.
Terkebil-kebil Fadil memandang Pak Awi. “Minta tolong pasal apa pulak ni, ayah?”
“Hantar pelanggan ayah pergi kerja. Hari ni ayah tak boleh bawa teksi. Pukul 8.00 nanti ayah nak pergi Kuantan dengan Haji Zaki.”
“Suruh dia naik teksi lain tak boleh ke? Bukannya teksi ayah aje yang ada. Dah tu kalau pergi hantar, balik kerja karang nak kena pergi jemput jugaklah?” soal Fadil. Ah, malasnya!
“Kenalah sebab dia tu pelanggan tetap ayah. Hati pelanggan ni mesti nak kena jaga. Tak boleh layan sambil lewa. Kau jangan ada niat malas nak tolong ayah. Sebelum kau pergi melalak kat tepi jalan tu, buat apa yang ayah suruh dulu,” tegas Pak Awi mengingatkan. Memang dia tahu sangat perangai Fadil ni. Kalau minta tolong apa-apa, selalu sahaja banyak alasan.
Fadil mendecit perlahan sambil mengerut muka. Potong mood betullah!
“Yalah, yalah...” Mengenangkan Pak Awi itu ayahnya, nak tak nak dia terpaksa bersetuju walaupun tidak sepenuh hati.
“Hah, tunggu apa lagi? Pergilah mandi cepat.”
“Nak pergilah ni. Ayah dah mandi ke?” tanya Fadil setelah bangun dari katil.
Dia menarik malas tuala yang tersangkut dekat kerusi. Sejuknya nak mandi awal-awal. Hari lain biasanya dia mandi pukul 9.00 ke atas.
“Semua orang kat dalam rumah ni dah wangi belaka. Kau sorang aje yang busuk,” perli Pak Awi.
Fadil menggaru-garu pipi. Terasa pedih telinganya mendengar jawapan itu. Pagi-pagi lagi sudah kena tembak tanpa belas. Tidak tunggu lama, dia terus keluar, pergi ke bilik air.
           
“MINUM, bang...” pelawa Mak Ani sambil meletak secawan kopi di hadapan Pak Awi yang baru duduk di meja makan.
Pak Awi minum perlahan-lahan. Kemudian termenung seketika. Tingkah lakunya itu diperhati oleh Mak Ani tanpa sedar.
“Hai, pagi-pagi lagi dah termenung jauh. Teringat dekat siapa pulak ni?”
Mata Pak Awi terus berkalih ke wajah Mak Ani sebelum jatuh ke arah kelibat Fadil yang baru keluar dari bilik air. Cepatnya mandi budak ni. Mandi kerbau gamaknya, getus Pak Awi dalam hati.
“Anak awak tulah. Kalau tak buat darah saya ni naik pagi-pagi memang tak sah. Minta tolong sikit pun nak bersungut. Tapi, kalau duk jamming dengan kawan-kawan dia, tak ada pulak macam tu,” omel Pak Awi tentang Fadil.
Mak Ani tersenyum. Dia faham apa yang dirasa oleh suaminya. Setiap hari memang ada sahaja rungutan yang dia dengar mengenai Fadil. “Kalau suruh dia kerja bawa teksi aje macam abang tak boleh ke?”
“Risaulah saya, Ani. Karang entah ke mana-mana pulak perginya dia bawa teksi tu. Daripada habiskan duit minyak, baik tak payah. Awak bukannya tak tahu dia tu kaki merayau.”
“Habis, ni abang minta tolong dia pergi hantar orang, abang tak takut ke dia melencong ke mana-mana nanti? Kut dibawanya penumpang jalan-jalan pusing bandar tu? Karang ada pulak yang tak sampai ke tempat kerja.” Mak Ani berseloroh lalu tergelak kecil.
Pak Awi hirup lagi kopi sebelum membalas, “Dah tak ada orang lain. Terpaksalah saya minta tolong dengan dia.”
Mak Ani mengeluh tiba-tiba. Dia pun risau memikirkan masa depan Fadil. Dalam usia 28 tahun, kehidupan Fadil masih lagi belum stabil. Tidak seperti abangnya, Fakrie, yang sudah berjaya memegang jawatan besar di sebuah syarikat automatif.
Fadil jarang bertahan lama jika bekerja di mana-mana. Disebabkan itulah sering kali bertukar-tukar kerja. Tetapi, yang peliknya menyanyi di jalanan Fadil boleh bertahan lama pula walaupun hasilnya cukup-cukup makan sahaja.
“Abang, kalau kita kahwinkan aje si Fadil tu tak boleh ke? Barulah dia belajar jadi bertanggungjawab sikit.”
Terbelahak panjang Pak Awi mendengar cadangan isterinya. Tidak bernas langsung dia dengar. “Hisy! Musnah hidup anak orang nanti. Kerja pun terumbang-ambing, nak kasi bini dia makan apa? Silap hari bulan, bini dia pulak yang tanggung dia nanti. Takkan awak tak ingat kenapa dia tak jadi kahwin dulu?”
Mak Ani menghela nafas. Dia ingat. Tetapi, dia lebih senang menganggap Fadil tidak ada jodoh dengan bekas pilihan hatinya itu. “Abang rasa Fadil tu ada kekasih baru tak lepas dia putus tunang dulu?”
Pertanyaan Mak Ani buat Pak Awi tersenyum senget.
“Ada ke perempuan sudi pandang lelaki macam dia tu? Duit pun kadang-kadang ada, kadang-kadang tak ada. Dengan gaya selekehnya lagi. Cuba awak tengok fesyen rambut dia. Menggerbang mengalahkan rambut Hantu Kak Limah. Mujur sangatlah kalau ada yang berkenan,” balas Pak Awi sekali gus membuatkan Mak Ani tergelak-gelak.
“Abang ni... Tak baik tau cakap macam tu dekat Fadil. Anak kita tu handsome apa? Kalau dia gunting rambut dan tukar gaya penampilan, saya rasa ramai yang nak buat dia jadi menantu.”
Kali ini giliran Pak Awi pula yang ketawa. “Minta-minta terbukalah hati dia nak buat apa yang awak cakap tu. Mata saya ni selalu rasa sakit tengok penampilan dia yang entah apa-apa tu.”
“Ayah, kunci keretanya mana?”
Pak Awi berhenti ketawa. Dia menala mata ke arah Fadil yang berdiri di tangga dapur. “Dah ada kat dalam kereta. Tadi ayah dah panaskan enjin. Ni, ayah nak beritahu. Pelanggan ayah tu biasa tunggu dekat wakaf tepi sekolah. Kau nampak perempuan galas beg tangan warna merah, yalah tu orangnya.”
“Kalau hari ni dia pakai beg warna lain macam mana pulak nak cam?”
“Susah-susah sangat nanti kau panggil ajelah nama Nuha. Kalau dia menyahut, betullah tu,” kata Pak Awi lagi.
“Hmm... yalah. Fad pergi dulu.” Fadil mahu berpaling, tetapi tidak jadi apabila Mak Ani memanggil.
“Fad tak nak sarapan dulu ke?”
“Balik nantilah, mak. Tak pun Fad singgah ajelah dekat mana-mana kedai makan nanti.”
“Pergi hantar pelanggan ayah tu dulu baru singgah mana-mana,” pesan Pak Awi penuh tegas.
“Ya, tahu...” Fadil menjawab malas. Dia siap-siap hendak naik ke atas rumah.
“Eh, nanti, nanti!”
Apa lagilah ayah aku ni. Berat nak berpisah ke? gerutu hati Fadil saat berpaling semula menghadap Pak Awi.
“Kau ni tak ada seluar elok sikit ke nak pakai? Dengan koyak dan berbulunya sana sini. Tak senonohlah ayah tengok. Pergi tukar seluar lain.” Pak Awi menggeleng melihat gaya seluar jean Fadil yang menampakkan kepala lututnya. T-shirt pun sama. Siap ada gambar tengkorak besar lagi. Masya-Allah, tidak berkenan langsung dia tengok.
Fadil tunduk melihat penampilannya.
“Ayah, inilah namanya rock. Barulah stylo,” jawab Fadil selamba.
Stylo apa kejadahnya? Ayah tengok macam stail kena gigit anjing gila aje. Kau jangan nak malukan ayah, Fad. Karang orang tengok, ayah pulak kena kata tak pandai ajar anak pakai baju.”
“Mulut orang, ayah. Biarlah dia orang nak cakap apa-apa pun. Yang penting ayah tahu kan Fad ni baik walaupun bergaya macam ni.” Fadil tersengih-sengih sambil menarik jean terlondeh naik ke pinggang. Tidak salah kut junjung bakul depan ayah sendiri.
Pak Awi mengeluh. Sempat dia mengerling Mak Ani. Tersenyum sahaja isterinya itu. Bab menjawab handal sangat Fadil ni.
“Okeylah, ayah, mak... Fad pergi dulu. Karang lambat, membebel pulak pelanggan ayah tu.”
“Nuha nama dia.”
“Aaa... Nuha.” Fadil menggerakkan jari telunjuknya. Ya, dia belum nyanyuk lagi.
“Hati-hati pandu teksi tu, Fad.” Mak Ani berpesan sebelum kelibat Fadil menghilang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan