Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 28 Disember 2015

Dudaku Suamiku - Bab 3

Bab 3
BUAIAN diayunkan perlahan. Syarez memandang ke taman yang menghijau. Bosan melingkari hatinya. Sudah dua minggu Suzy ke Paris untuk penggambaran drama. Penerbit-penerbit drama di Malaysia ini semakin kaya. Dahulu rasanya drama hanya berkisar di Malaysia sahaja. Sekarang mereka juga sudah terjangkit budaya filem Bollywood yang gemar membuat penggambaran di luar negara.
Hinggakan nama tempat itu di India, tetapi ia sebenarnya adalah lokasi luar negara. Nasiblah drama Malaysia tidak jadi begitu. Drama Melayu cuma membuat penggambaran di sana, tetapi tetap mengagungkan tanah tumpah sendiri.
Syarez mengeluh.
“Hai... kuat mengeluh?” tegur babanya, Tuan Adam Mansor.
Syarez lantas menoleh. Dia terkejut dengan teguran babanya. Lambat-lambat dia mengukirkan senyuman. Dia beralih tempat sedikit, memberi ruang kepada babanya. Babanya melabuhkan punggung di sisinya. Bahu anak bongsunya itu ditepuk perlahan.
“Dah dua minggu baba tengok Rez ada kat rumah. Suzy ke mana?” tanya Tuan Adam Mansor.
“Paris baba. Hujung bulan ni baru balik. Sibuk betul,” luah Syarez kepada babanya.
Baba lebih fleksibel berbanding uminya. Uminya itu jikalau mendengar nama Suzy sahaja sudah melenting. Entah apa yang tidak kena pada matanya akan diri Suzy. Padahal Suzy begitu sopan melayaninya. Tapi, umi tetap acuh tak acuh dengan kesopanan Suzy.
“Dah kamu berkenankan public figure, itulah harga yang perlu kamu bayar, Rez,” ujar babanya.
“Hmm... dah cinta baba,” kata Syarez sambil ketawa. Babanya ikut ketawa.
“Tapi, sekarang... Tak ada orang tahu lagi pasal kamu kekasih dia?” tanya babanya.
“Tak ada lagi baba. Tapi, lepas tunang Rez tak kisah jika Rez dikenali,” balas Syarez.
Tuan Adam Mansor menganggukkan kepalanya.
“Mari makan,” ajak umi Syarez, Puan Suhaili, yang entah bila tiba di situ.
Puan Suhaili meletakkan dulang yang berisi minuman. Pembantu rumahnya meletakkan kuih yang dibuat tadi.
“Umi masak apa petang ni?” tanya Syarez. Dia sudah duduk di sisi uminya. Bau harum pulut sekaya memasuki hidungnya. Syarez mencapai sepotong kuih itu, lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Sunyi betul rumah kita ya. Minggu ni tak pula Amira balik. Rindu sangat dengan cucu yang sorang tu.” Kedengaran rungutan daripada Puan Suhaili. Dia jadi rindu dengan cucu tunggalnya itu.
“Sibuklah kak long tu. Umi macam tak faham pula dengan dia. Sikit-sikit pasal kedai bukunya,” kata Syarez.
“Susah betul kalau cucu sebelah sana pun hanya Amira. Asyik berebut aje kita,” rungutnya lagi.
“Dah nak buat macam mana. Anak-anak kita yang lain tak nak berumah tangga,” balas Tuan Adam Mansor.
“Rez nak kahwin, tapi dalam hujung tahun ni. Tahun depan umi dengan baba bolehlah timang cucu,” kata Syarez.
“Nak ke bini kamu tu nanti beranak? Pelakon macam dia tu nak ke? Orang jaga badan ni tak tentu lagi jika mahu ada anak ke tak!” Puan Suhaili sepertinya menyindir.
“Umi ni... Semua orang nak anaklah. Termasuklah Suzy,” bela Syarez.
“Kamu memang suka membela dia Rez. Tak apalah, kita tunggu dan lihatlah. Kalau dia nak bagi umi dan baba timang cucu, umi terima. Kalau tak, lebih baik tak payah kahwin.” Puan Suhaili seperti memberi kata dua kepada Syarez.
Syarez yakin Suzy seperti wanita lain, mahukan zuriat sendiri selepas perkahwinan.
“Dahlah tu, Su... Kita terima aje dengan hati yang terbuka bakal menantu kita tu. Susahlah kalau semuanya kena ikut cakap orang tua berkenaan dengan pilihan hati.” Tuan Adam Mansor cuba menyejukkan hati Puan Suhaili.
Puan Suhaili diam. Dia mengakui kenyataan suaminya itu. Tetapi, hatinya tidak berkenan kerana akan bermenantukan seorang artis. Bukan dia tidak pernah menonton lakonan Suzy. Memang ada kelas, tetapi itulah, pegang, peluk cium dengan semua orang. Itu yang dia tidak suka. Haram pula tu. Dia berdoa agar selepas berkahwin Suzy akan berhenti menjadi pelakon. Kalaulah hanya kerana bayaran yang lumayan, rasanya anaknya itu dapat menyediakan kelengkapan untuk Suzy. Lebih daripada bayaran dia berlakon.
“Su...? Su...?” panggil Tuan Adam Mansor. Dia menyedari sejak ditegur tadi wanita itu mendiamkan diri. Entah apa yang difikirkannya.
Puan Suhaili tersedar daripada lamunannya.
“Apa, bang?” tanyanya.
“Tak ada apa-apa. Sejak tadi diam aje, marahkan abang ke?” tanya Tuan Adam Mansor.
“Taklah... Buat apa nak marah. Cuma Su terfikir selepas dia orang kahwin suruhlah si Suzy tu berhenti jadi pelakon. Su tak berkenanlah pegang sana sini dengan orang yang bukan muhrim,” luahnya.
“Dah namanya pelakon, tentulah kena ikut arahan. Kalau tak macam mana nak jadi pelakon hebat macam bakal menantu kita tu?” giat Tuan Adam Mansor lagi. Mahu melihat reaksi isterinya.
“Su tetap tak boleh terima. Nanti apa kata ahli usrah Su,” bidas Puan Suhaili kepada suaminya.
“Mulut orang memang tak boleh ditutup Su. Kalau nak mengumpat lebih baik tak payah pergi usrah. Usrah sorang-sorang kat rumah,” ujar Tuan Adam Mansor.
“Itu bukan usrah namanya, cik abang oi!”
Tuan Adam Mansor ketawa. Mulut orang bukannya boleh ditutup. Biarlah jika mereka mahu menambah dosa. Janji kita cuba mengelak daripada semua itu. Isterinya itu terlalu berhati-hati dalam memilih menantu. Dalam terlalu memilih itu tidak dapat juga dia menantu yang berkenan di hati. Mungkin kerana Syarez satu-satunya anak lelaki dalam keluarga selepas kematian anak sulung lelaki mereka 20 tahun lalu kerana terlibat dalam kemalangan sewaktu belajar di Jepun.
Tuan Adam Mansor sendiri tidak kisah dengan pilihan anaknya itu. Apa yang penting Syarez akan bahagia dengan pilihan hatinya. Dia sebagai bapa hanya akan menyokong. Pandai-pandailah Syarez mencorakkan rumah tangganya nanti. Jika terjadi apa-apa mereka tidak disalahkan. Sendiri tanggung. Tapi, boleh ke ibu dan bapa melihat saja rumah tangga anak mereka musnah?
Pilihan Syarez lengkap sebagai seorang kaum Hawa, cuma pekerjaannya sahaja yang menjadi penghalang isterinya untuk menerima dengan hati yang senang. Siapa yang tidak risau, bakal menantunya satu Malaysia kenal? Hati Tuan Adam Mansor ralat juga, tetapi dia tidak mahu menolak pilihan Syarez. Syarez satu-satunya anak lelaki mereka.
“Suzy ke mana? Kamu tak keluar dengan dia ke?” Giliran Puan Suhaili pula bertanya.
Syarez yang sedang mencabut rumput di tepi pasu bunga uminya, menoleh ke arah uminya. Dia senyum. Ini sudah bagus. Mahu juga Umi mengambil tahu pasal Suzy. “Dia ada shooting di Paris, umi. Dalam dua tiga hari balik kut.”
“Umi tak tahulah kalau lepas kahwin nanti kamu kena tinggal macam ni juga. Buat apa kahwin kalau kena tinggal sampai dua tiga minggu,” kata Puan Suhaili lagi.
“Senang aje, umi, Rez ikutlah dia nanti. Dah kahwin tentulah best.” Syarez mengangkat kening ke arah Puan Suhaili.
“Yalah tu... La ni cakaplah macam tu. Buat pula selalu kena tinggal mahu kamu tak mengamuk Rez,” katanya lagi.
Syarez mahu membalas kata-kata uminya, tapi dia tidak jadi apabila babanya lebih dahulu bersuara.
“Dahlah tu, Su. Tak payah cari kekurangan Suzy lagi. Semua orang ada kekurangan masing-masing. Kita manusia Su. Semuanya sama.”
“Yalah. Su memang kalah kalau baba dan anak ni duduk sekali.” Suara Puan Suhaili seperti berjauh hati. Dia lantas bangun. Lebih baik sembang dengan bibik di dalam rumah. Taklah stres.
“Umi kamu tu merajuklah tu,” kata Tuan Adam Mansor sambil tersenyum.
“Terima kasih baba sebab tolong Rez.”
“Baba tolong bukannya apa, baba malas bising-bising dengan umi kamu tu,” kata Tuan Adam Mansor.
Hon kereta yang berbunyi di luar mengejutkan kedua-dua beranak itu. Lambat-lambat Tuan Adam Mansor dan Syarez tersengih. Amira berlari keluar walaupun mamanya belum lagi sempat mematikan enjin. Si kecil itu rindukan atuk dan neneknya sejak dua minggu yang lalu.
“Atuk... Mira rindu ni,” kata Amira terus memeluk atuknya. Pipi Tuan Adam Mansor dicium berkali-kali.
Tuan Adam Mansor memeluk cucu tunggalnya itu.
“Mana nenek?” tanya Amira sambil matanya melilau mencari neneknya.
“Nenek ada kat dalam. Cepat masuk surprisekan nenek. Tapi kena sayang pak usu dulu. Mana aci sayang atuk aje,” sampuk Syarez sambil menunduk ke arah Amira.
Pipi Syarez dicium sekali dan Amira terus berlari ke dalam rumah. Dia mahu mencari neneknya.
Hawa Alyana duduk di sisi babanya. Dia mencapai kuih sekaya lalu digigit sedikit.
“Kak long dari mana ni?” tanya Syarez setelah membasuh tangannya yang kotor kerana mencabut rumput tadi.
“Dari kedai. Nak balik ke rumah. Amira merengek nak datang sini. Rez bukan tak tahu kalau dia merengek nak datang sini, kalau tak datang agaknya mahu pecah rumah kak long lepas ni. Mengamuk tak tentu pasal. Amira kan dapat perangai umi,” seloroh Hawa Alyana.
Anak lelaki dan babanya ketawa kuat.
“Amboi! Kak long, sedap mengata umi. Kak long pun apa kurangnya masa kecik-kecik dulu. Malah, rasa umi lebih teruk lagi daripada Amira,” kata Puan Suhaili yang memimpin tangan Amira.
“Mama kurang apa nenek?” tanya Amira. Dia juga ingin tahu apa yang dibualkan oleh mereka.
“Kurang buat perangai,” kata Hawa Alyana cepat.
“Yalah tu. Rez ingat lagi masa tu Rez dalam berapa tahun entah, kak long suruh kak ngah dengan kak cik tengok-tengokkan Rez sebab umi pergi hospital. Akak yang dua orang tu tahu main aje, biarkan Rez main-main sorang-sorang sampaikan pecah habis pasu-pasu bunga kak long dengan umi. Kak long mengamuk sampai tak ingat dunia. Siap ambil sisa pasu pecah baling kat kak ngah dan kak cik. Umi ingat tak kak cik ada parut kat betis tu. Ni... queen nilah yang baling. Nasib baik tak kena kepala.” Syarez mengimbau kenangan silam.
“Baba pulang masa tu memang baba hampir pengsan tengok anak-anak baba macam tu. Kenangan tu memang baba tak boleh nak lupa,” ujar Tuan Adam Mansor pula.
“Baba tahu tak... Lepas kak long lepaskan geram kat kak ngah dan kak cik dalam diam-diam dia pergi cubit paha Rez. Lepas tu ugut pula tu, kalau teriak dia dah tak nak tolong Rez daripada kena buli dengan kak ngah dan kak cik lagi.”
“Kak long memang teruk dulu, tapi siapa yang Rez paling sayang?” tanya Hawa Alyana sambil mengangkat keningnya.
“Kak longlah. Tu pun sebab kakak berdua tu masuk sekolah menengah, nak duduk asrama. Lepas asrama terus ke luar negara. Rez tak ada siapa-siapa nak menumpang kasih.” Syarez tidak mahu kalah biarpun dia tidak menafikan dia memang lebih sayangkan kak longnya.
“Nenek, rupanya mama dulu garang ya,” kata Amira tiba-tiba. Dia dan neneknya hanya menjadi pendengar sahaja sejak tadi.
“Sekarang mama tak garang?” tanya Hawa Alyana kepada anak kesayangannya itu.
“Garang juga, tapi Mira tak takut pun,” kata Amira sambil ketawa kecil. Dia memeluk lengan nenek.
“Tak takut?”
“Sebab ada atuk dengan nenek.”
Mereka ketawa. Telatah Amira yang petah itu mencuit hati mereka. Dengan Amiralah mereka semua dapat menumpang kasih. Walaupun mereka tinggal berjauhan sedikit, tapi mereka masih lagi dapat melawat diri masing-masing untuk sekali-sekala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan