Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 29 Disember 2015

Cik Pemanis Hati - Bab 5

Bab 5
Beep! Beep! Beep! Argh... Malas betullah mata aku ni nak buka, apalagi nak menggerakkan badan. Memang tahap kemalasan yang tidak boleh diubah dari dulu. Dah namanya hari ni hari Sabtu. Usai saja solat subuh pagi tadi, automatik saja Hana menghempas diri di atas tilam sofa bed yang terletak di ruang tamu.
Hana mencelikkan sedikit matanya. Perlahan-lahan dia mengiring ke kiri. Dia terus pandang telefon bimbit yang berdering dari tadi disebabkan alarm clock yang dia dah kunci malam tadi. Berkerut dahinya melihat jam pada telefon bimbit. Dah pukul 1.20 petang! Anak dara siapalah yang bangun lewat-lewat begini? Mak mertua manalah yang sanggup terima gadis sepertinya?
Hana mengeluh. Kononnya nak praktis bangun awal, supaya hari Isnin depan dia tak akan terlewat lagi. Tapi, dek kemalasannya, dibiarkan saja alarm clock tu snooze memanjang. Yalah, dah bangun, tapi set alarm lagi lima minit dan begitulah sehingga dia betul-betul tersedar.
Hana matikan alarm clock. Hana pusing badan dan berbaring lurus. Dia pandang siling rumah. Otaknya masih belum beroperasi sepenuhnya.
“Hari ni hari Sabtu. Nak buat apa ya?” Hana bercakap sendirian. Kemudian dia mengiring ke kanan dan menutup semula matanya.
“Tidurlah lima minit lagi.” Tidak sampai beberapa saat, dia membuka kelopak matanya semula. Dia seperti teringatkan sesuatu.
“Alamak!” Tanpa menyambung semula niat ingin tidur semula itu, dia terus bingkas bangun. Cepat saja dia menyambar tuala berwarna biru terang dan masuk ke dalam bilik mandi. Kedengaran air hos mengalir jatuh ke lantai bilik mandi.

Adam tidak henti-henti menekan punat kamera Nikon D750 berwarna hitam miliknya. Dari atas pedestrian yang menghubungkan Pavilion ke KLCC itu, dia asyik sekali mengambil gambar. Gambar orang yang lalu-lalang di situ, kesesakan lalu lintas di bawah pedestrian itu dan bangunan pencakar langit di sekitar situ.
Adam tersenyum sendiri. Dia memeriksa semula semua gambar tadi. Kewujudannya di situ menarik perhatian pengguna jalan pedestrian itu, terutamanya kaum Hawa. Siapa tidak tertarik dengan lelaki sekacak dan penuh gaya seperti dia? Hamboi, perasan melangitlah kau, Adam. Tapi, memang betul pun. Ini memang fakta, bukannya auta ya.
Adam menjeling sekilas jam tangan Patek Philippe berwarna perak yang terletak kemas pada pergelangan tangan kirinya. Hmm... dah nak pukul 2.40 petang dah. Perutnya pun bukan main lagi berbunyi ketika dia galak ambil gambar tadi. Jadi, sekarang ni, lebih baik dia mengisi perutnya dahulu. Persoalannya sekarang ni, nak makan kat Pavilion atau KLCC?
Adam pandang ke sebelah kiri jalan, ke Pavilion kemudiannya berpaling ke sebelah kanan, jalan menuju ke KLCC. Hmm...

Hana bergegas keluar dari LRT Putra yang berhenti di stesen KLCC. Ramai juga orang berkunjung ke situ. Maklumlah, hari Sabtu. Jadi, tidak hairanlah ramai orang di KLCC hari itu.
Hana cepat-cepat memasukkan cip berwarna biru ke dalam mesin untuk keluar dari situ. Dia terus melangkah keluar selepas penghadang pintu laluan terbuka. Dia menghala ke laluan kiri menuju ke KLCC. Kalau ke kanan memang terus masuk ke Avenue K. Hana pandang jam pada skrin telefon bimbit. Pukul 3.00 petang dah. Kelihatan 20 missed call dan 24 mesej masuk ke WeChat dan LINE. Aduhai.
Memang Hana sengaja tidak menjawab panggilan sepanjang perjalanan ke KLCC. Dia tidak sanggup mendengar bebelan si pemanggil. Mahu bernanah telinganya nanti sekiranya dia menjawab panggilan itu. Langkah paling selamat, biarkan saja.

“Manalah minah bertuah ni? Kita tunggu dekat sejam setengah ni ha. Perut aku ni dah lapar sangat ni. Isy!” Lelaki berbaju T-shirt berkolar berwarna merah jambu dan seluar jean biru gelap itu sudah mula membebel sambil membuat muka menyampah. Dia memandang gadis berambut perang dan bermata hazel di hadapannya itu.
Gadis yang memakai blaus lengan pendek berwarna putih dan skirt midi berwarna merah serta kasut bertumit tinggi berwarna merah itu juga hanya mengangkat kening kirinya sambil mengoles gincu ke bibir. Lama dia meneliti wajahnya sendiri pada cermin sambil tersenyum-senyum. Konon nak tengok bagaimana rupa dia senyum. Hmm... memang cantik dan lawa sangat. Mulalah dia syok sendiri.
Lelaki tadi mula mengeluh. Dia geram kerana tiada respons daripada gadis itu.
Gadis itu mula tersedar dan terus menyimpan cermin mini itu ke dalam beg tangan Hermes berwarna hitam miliknya yang diletak di atas kerusi sisinya.
“Fufu, sabarlah. Kau pun tau kan cousin tercinta kita tu memang selalu lambat dari zaman kita kecik-kecik lagi. Kau nak bebel banyak pun tak guna. Habis air liur kau aje. Bak kata Aunty Nora, sabar ajelah,” ujar gadis itu sambil memandang tepat ke arah Fufu atau nama sebenarnya Muhammad Fuad. Tapi, sejak kecil lagi dipanggil Fufu.
“Vianne, aku tak kisahlah dia lambat ke apa. Tapi, bila dia tak jawab call dan balas WeChat aku dari tadi, panaslah hati aku ni ha,” rungut Fuad sambil melekapkan tapak tangan kanannya ke dada. Mukanya jelas sekali masam.
Vianne tersenyum melihatkan kerenah manja anak bongsu Uncle Noh Lim. Lelaki, tapi jenis yang lemah lembut macam perempuan. Cara bercakap saja dah lemah lembut macam perempuan, tapi sikap lelakinya masih ada. Orang yang tidak mengenali Fuad secara dekat pasti akan menganggap lelaki itu jenis ‘sotong’ disebabkan cara dia bercakap. Hakikatnya, dia seperti lelaki yang lain juga.
“Alah... Kau pun tau minah tu datang naik apa. Kalau dia dah dalam tren, lebih-lebih lagi masa orang tengah ramai, memang sah-sahlah dia tak nak jawab call apalagi nak reply mesej,” ujar Vianne mempertahankan sepupu mereka yang memang terkenal dengan kelewatannya dalam kalangan keluarga dan saudara terdekat.
“Puih... Apasal minah tu tak ada kereta, hah? Nak cakap uncle tak mampu nak bagi sebuah kereta, tipu besarlah. Sebut aje nak berapa banyak buah kereta pun uncle mampu belikan. Tak payah uncle, aunty tu pun mampu nak belikan dia rumah sekalipun. Saja aje kan minah tu nak menyusahkan diri sendiri naik tren?” Fuad mula mempertikai.
“Aduhai, macamlah kau tak kenal si Hana tu dari kecik lagi. Dia tu kan suka berdikari? Lepas tu humble nak mampus. Semua tentang diri dia dan famili pun nak dirahsiakan. Haih, kalau aku, tak sangguplah tak naik kereta. Susahlah nak bergerak tak ada kereta,” kata Vianne sambil memuncungkan bibirnya yang mungil itu.
“Kan... Mana boleh hidup tak ada kereta. Isy, si Hana ni memang nak kena brainwash dengan aku kejap lagi.”
“Kalau kau berjayalah. Jangan nanti kau pulak yang kena brainwash dengan Hana,” sindir Vianne sebelum ketawa terkekeh-kekeh.
Fuad mencebik geram kerana ditertawakan. Sabar sajalah, hati. Nasib baik sepupu. Kalau tidak, dah lama dia tenyeh mulut Vianne guna macaroon yang dipesannya tadi.
“Hoi!”
Mereka berdua dikejutkan dengan sapaan kasar lagi kuat daripada orang yang dinanti-nantikan dari tadi. Vianne terus berhenti ketawa dan bingkas bangun. Tubuh langsing dan tinggi Hana didakap erat. Tidak cukup dengan itu mereka berdua saling berbalas ciuman di pipi.
“Amboi, makin cantiklah kau, minah!” puji Vianne sambil matanya bersinar-sinar melihat sepupu paling rapat itu.
Hana tersengih menampakkan giginya yang cantik tersusun dan putih berseri.
“Itu aku dah lama taulah, nyonya. Kau pun makin menawan meletup habis sekarang,” balas Hana ceria.
Sejak dulu mereka suka menggelar sesama sendiri dengan gelaran minah untuk Hana dan nyonya untuk Vianne.
“Helo... Kau orang berdua dah lupa ke kewujudan aku yang glamor ni?”
Hana dan Vianne serentak menoleh ke arah Fuad yang sudah berdiri bercekak pinggang. Hana tergelak dan terus meluru ke arah Fuad. Mereka berdua bersalaman dan masing-masing memberikan flying kiss.
“Lambat benar kau ya, Hana. Aku call tak angkat, mesej pun tak reply. Apa kau punya handphone tu dijadikan barang perhiasan aje ke dalam beg tu?” Fuad sudah mula membebel sambil jari telunjuk melentik menunjuk ke beg Hana.
Mata Hana dan Vianne bertembung. Mereka berdua hanya tersenyum-senyum dan sedia maklum dengan sikap membebel Fuad itu. Mereka bertiga sudah duduk di meja semula. Hana dan Vianne duduk bersebelahan manakala Fuad duduk bertentangan dengan Hana.
Sorrylah, apek. Kau pun tau kalau hari Sabtu macam ni, tren penuh gila kut. Aku nak kena naik dua tren kut untuk datang sini,” jelas Hana.
Fuad digelar apek kerana mukanya yang langsung tidak berwajah Melayu walaupun ada kacukan Melayu. Memang mewarisi rupa bangsa Cina daripada ayahnya. Mata sepet dan kulit pula cerah. Muka usah cakaplah, memang macam orang Cina.
“Padan muka kau. Siapa suruh tak nak ada kereta? Kan sendiri yang susah.”
Hana mencebik. Dia sudah lali mendengar persoalan itu daripada seluruh keluarganya, apatah lagi saudara-mara.
“Yalah, Hana. Aunty Nora pun selalu bising kau tak nak ada kereta. Sudahlah tinggal sorang-sorang. Duduk kat flat pulak tu. Tak ke bahaya tu?” Vianne mula melahirkan perasaan bimbangnya akan keselamatan Hana.
“Apa salahnya duduk kat flat? Sewa pun murah. Tak ada orang nak ganggu. Lagipun tiada siapa yang kenal aku kat situ. Aku dah dekat setahun duduk situ, okey aje,” balas Hana selamba.
“Sekarang kau cakap okey, di hari lain macam mana pulak?” tempelak Fuad.
Hana mencebik.
“Tinggal kat mana-mana pun belum tentu selamat, walau kat kondo mewah sekalipun. Melainkan kau ada bodyguard 24 jam berjaga depan rumah kau. Kau sanggup ke ada orang kawal kau 24 jam?” soal Hana.
Fuad dan Vianne masing-masing terkedu.
“Fufu, sekarang ni kau nak brainwash si Hana ni ke dia tengah brainwash kau? Kan aku dah cakap tadi, kau memang kena brainwash balik,” sindir Vianne lalu tergelak.
Fuad sudah mula buat muka whatever. Hana tersenyum.
“Ni nak makan kat mana ni? Takkan nak makan kat Harrods Cafe ni. Tekak aku ni nak makan nasiklah,” ujar Hana sambil meraba tekaknya.
“Itulah si apek ni. Tekak nak makan western aje. Tadi aku ajak makan food court kat atas sebab nak makan nasi kandar ayam madu, dia tolak mentah-mentah. Nak makan macaroon kat sinilah sangat. Macamlah tak boleh nak tapau bawak balik kan,” rungut Vianne sambil menjeling sekilas Fuad yang begitu rancak mengunyah macaroon.
Terbeliak mata sepet Fuad mendengarkan kata-kata Vianne. Hana sudah menggeleng-gelengkan kepala melihatkan kerenah mereka berdua.
“Fufu, Fufu, Fufu... Tengok Vianne ni. Dia dah terang-terang ada darah orang putih dalam darah dia ni, tapi selera dia macam aku. Tak adanya nak makan western bagai. Kau ni baru aje belajar dekat Aussie selama tiga tahun, itu pun terus tekak kau pun jadi tekak sana eh?” Hana mula memerli Fuad.
Fuad mula menjulingkan mata ke atas sambil letak tangan ke bahu.
Whatever. Yalah. Kau orang nak sangat makan nasik kan. Jomlah. Tak kuasa aku nak dengar kau perli lama-lama, minah!” Sejurus itu, Fuad terus bangun.
Hana dan Vianne tersenyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan