Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 28 Disember 2015

Dudaku Suamiku - Bab 4

Bab 4
REESA menutup pintu kereta. Adam berlari mendapatkannya yang berada di sebelah kanan kereta. Sejak dari rumah tadi Adam begitu gembira kerana akan bertemu dengan daddynya. Sudah dua minggu Adam tidak bertemu dengan daddynya. Mummynya itu terlalu sibuk di sekolah.
Mummy, daddy tahu tak kita nak datang ni?” tanya Adam. Dia menarik jemari mummynya lalu digenggam. Pandangan dihalakan ke arah mummynya. Mata galak itu bersinar memandang Reesa.
Walaupun bukan daddy yang sebenar, Adam tetap dapat menumpang kasih daddynya. Daddynya itu menyayangi Adam dengan tidak berbelah bagi. Sejak kecil Adam mengenali daddynya itu sebagai bapa.
“Tak. Mummy tak cakap pun. Mummy takut daddy tertunggu-tunggu kedatangan kita. Daddy kan sibuk. Cuba tengok kat dalam restoran daddy, ramai orang,” beritahu Reesa kepada anak kecilnya itu. Dia menunjuk ke ruang di dalam restoran. Entah kenapa bicara Adam selalunya tidak seperti dia berusia lima tahun lebih.
“Ingatkan daddy dah tahu. Tak seronoklah, mummy.” Lemah Adam bersuara. Dia suka jika daddy tahu akan kedatangannya.
“Seronoklah... Nanti, daddy surprise tengok Adam ada kat sini,” pujuk Reesa. Dia mengelus-elus lengan kecil Adam. Lambat-lambat dia mengangkat jemari kecil Adam dan menciumnya.
Adam ketawa gembira semula. Mereka dua beranak melangkah ke dalam restoran.
“Eh, Adam datang!” jerit satu suara. Pelayan wanita bernama Intan itu tersenyum. Sudah lama dia tidak melihat dua beranak ini di sini. Dia teruja sungguh jika melihat dua beranak ini. Selalu juga dia mengusik Adam.
“Mak Cik Intan, daddy ada?” tanya Adam. Adam sudah mengenali wanita itu sejak kecil lagi.
“Alah, panggillah kakak. Nampak tua sangat ke?” Intan pura-pura merajuk.
“Kamu jangan main-main dengan Adam ni, Intan. Mengamuk tak pasal-pasal. Dia tengah mencari daddy dia,” sampuk Reesa.
Intan tersengih.
“Bos ada kat dalam dapur, Kak Reesa. Tak menang tangan juga. Entah kenapa hari ni ramai pula yang datang,” beritahu Intan.
“Tak apa, Intan, lagipun dia tak tahu kami datang. Macam biasa ya,” pesan Reesa. Dia menarik tangan Adam untuk duduk di meja kegemaran mereka. Meja itu masih belum ada pelanggan. Syukurlah, jika tidak nanti Adam mungkin mengamuk.
“Lepas ni dia tahulah kalau dah sampai oder ni kat dia. Saya pergi dulu, Kak Reesa,” balas Intan. Dia tahu benar dengan menu kebiasaan dua beranak itu.
Reesa mengangguk kepada Intan. Adam menarik muka cemberutnya. Merajuk kerana masih belum dapat bertemu dengan daddynya. Reesa senyum melihat tingkah Adam. Reesa meraup dahi Adam yang dilitupi dengan rambutnya. Susah benar mahu membuat fesyen rambut Adam. Rambutnya seperti rambut perempuan. Kalau nak dibuat fesyen rambut perempuan memang tidak ada masalah. Tapi kalau untuk fesyen lelaki memang susah. Kalau botak sahaja elok. Tapi itulah, Adam pula yang tak suka.
Mummy, mana daddy ni?” tanya Adam lagi. Dia makin tidak sabar.
Mummy cakap apa? Sabar itu...”
“Separuh daripada iman,” sambung Adam.
“Pandai pun anak mummy. Jadi Adam kenalah bersabar. Daddy dah tahu kita ada kat sini.” Reesa tidak mahu berselindung lagi. Kasihan melihat anaknya itu yang tidak sabar mahu bertemu dengan daddynya.
“Helo, sayang daddy!” sapa seorang lelaki yang lengkap memakai uniform cef, menatang dua pinggan yang berisi spageti dan chicken chop.
Adam yang mendengar suara daddynya segera menoleh. Melompat turun dari kerusi, memeluk daddynya yang baru sahaja menyerahkan dua pinggan tadi kepada Reesa.
“Adam rindu daddy. Mummy tak nak datang,” adu Adam manja. Dia masih lagi dalam pelukan daddynya.
“Ya ke? Mummy tak nak datang? Mummy nak kena pukul dengan daddy ni,” gurau daddynya.
“Jangan dengar cakap dia, abang. Reesa sibuk kat sekolah. New intake.” Reesa tidak mahu mengalah. Pandai-pandai saja si kecil ini mereka cerita.
Umarif mengangkat Adam dan diletakkan di kerusi semula. Dia duduk di sisi Adam. Pinggan berisi spageti segera ditarik ke depannya. Dengan garpu dia menyuapkan Adam.
“Sedaplah daddy. Rindu betul spageti daddy ni. Mummy bukan tahu masak,” kata Adam tiba-tiba. Adam memang begitu bila bersama dengan Umarif. Dia terus melupakan Reesa.
“Amboi! Sedapnya mengata mummy. Mentang-mentanglah daddy suapkan dia. Dia kipas banyak-banyak ya.” Reesa menarik hidung Adam.
Adam menyeringai perlahan. Dia menggosok-gosok hidungnya seketika sebelum menyisip jus oren.
“Memang betul kan mummy tak tahu masak,” sokong Umarif.
“Oh, yang merengek nak makan masakan mummy, tak ingat? Tak apa, lepas ni dua-dua jangan merengek lagi.” Reesa mengugut. Dia pura-pura merajuk.
“Ops!” Adam dan Umarif menutup mulut.
“Kalau lepas ni tak dapat makan masakan Melayu Reesa, mana abang nak cari orang yang masak serupa Reesa. Cuba cerita sikit,” ujar Reesa lagi. Bangga.
“Abang kempunanlah,” balas Umarif sambil senyum manis.
Umarif memandang kedua-dua beranak yang menjadi penyeri hidupnya sejak enam tahun lalu. Sebelum ini hidupnya hanya untuk restorannya ini, tetapi selepas kehadiran mereka berdua dunianya sudah berubah. Sudah berwarna. Ditambah pula Adam dengan yang pandai berceloteh. Setiap hari dia merinduinya.

SYAREZ dan kakaknya segera mencari tempat duduk. Kakaknya selalu datang ke Restoran Mi Paloma ini. Masakan baratnya tiada tandingan dengan semua restoran hatta masakan barat di hotel lima bintang sekalipun. Kali ini mereka membawa Amira kerana Amira mengadu Syarez sudah lama tidak membawanya keluar berjalan-jalan.
“Betul ke sedap sangat, kak long?” tanya Syarez.
“Betullah. Bos restoran yang memasak sendiri. Lain sikit. Yang pasti kak long sukalah,” kata Hawa Alyana.
Sebaik mereka mengambil tempat seorang pelayan datang meletakkan gelas dan menuangkan air kosong ke dalam gelas itu. Syarez terkejut dengan kedatangan pelayan yang tiba-tiba itu. Bukan tak biasa, tetapi terlampau cepat pula dirasakan layanan itu. Menu diletakkan di hadapan mereka dan mereka menulis sendiri menu apa yang mereka kehendaki.
“Kalau macam tu, senanglah kerja mereka, kak long. Kita tulis sendiri,” kata Syarez selepas pelayan itu berlalu.
“Itulah istimewanya restoran ni. Kiranya pelanggan pun ada peranannya sendiri. Ini tak, masuk dalam restoran aje oder, makanan sampai, makan terus. Bila tak sedap komen tak ingat dunia. Letih orang yang memasak kita tak tahu,” bela Hawa Alyana mengangkat kening.
“Yalah tu. Kalau bahas memang kenalah dengan kak long. Yang hairannya dahulu kenapa tak jadi lawyer,” ejek Syarez.
“Tak minat.” Hawa Alyana ketawa.
“Mama, lambat lagi ke?” tanya Amira. Dia sudah tidak sabar mahu merasa makanan yang mamanya cakap sedap sangat.
“Nanti sampailah makanan kita,” pujuk Hawa Alyana.

Reesa melangkah untuk menghantar makanan yang dipesan di meja 12. Tidak jauh dari mejanya. Yang lain sibuk, sebab itulah dia dengan rela hati menolong.
“Maaf lambat sikit,” kata Reesa. Dia meletakkan pinggan di hadapan lelaki dan wanita itu.
“Tak apa. Saya dah tahu servis awak semua macam mana. Tapi, awak ni pelayan baru ke?” tanya Hawa Alyana hairan. Yang datang menghantar makanan kali ini berbaju kurung. Selalunya mereka semua memakai pakaian seragam.
Reesa ketawa kecil. Semua orang selalu bertanya perkara yang sama andainya dia yang menghantar makanan.
“Taklah. Saya tolong aje,” jawab Reesa dengan senyuman manis.
Syarez asyik melayan Amira yang mahu minum air. Tidak ambil peduli kakaknya bersembang dengan pelayan tersebut. Terlebih ramahlah pula kakaknya itu.
“Tapi kan saya rasa macam pernah nampaklah awak ni. Kat mana ya?” tanya Hawa Alyana.
Apabila mendengarkan kata-kata wanita itu Reesa memandang betul-betul wajah wanita itu. Betullah... Kat mana dia pernah lihat wanita ini? Mereka berdua mengangkat jari.
“Alah, mama, ni dia cikgu sekolah Miralah,” kata Amira cepat.
Syarez mendongak apabila mendengar Amira berkata begitu. Belum pun sempat melihat wajah itu ada suara kecil yang memanggil mummy. Wanita itu menoleh ke arah suara itu dahulu.
“Sekejap ya... ” Reesa terburu-buru menghampiri mejanya.
“Kenapa Adam mummy ni?” tanya Reesa sambil meletakkan dulang di atas mejanya.
“Jus Adam dah habislah.”
Reesa bangun untuk ke dapur semula. Tapi, langkahnya terhenti apabila Umarif sudah berada di belakangnya. Umarif sedang menatang dulang dengan satu gelas besar jus oren. Reesa tersenyum memandang Umarif.
“Eh, itu kawan Miralah. Adam!” jerit Amira, melambai.
Adam menoleh. Begitu juga Reesa dan Umarif. Adam melompat turun dari kerusinya, menghampiri meja yang diduduki Amira. Kedua-dua anak kecil itu leka berbual. Reesa tahu mereka bersekolah sama, tapi tidak pula dia tahu anaknya dan Amira itu berkawan rapat.
Mata Syarez memaku pada wajah yang tidak pernah ditemui sejak hampir enam tahun lalu. Ingatkan dia sudah menghilang terus dari matanya. Rupanya Malaysia ini kecil sahaja. Benarkah dia? Tetapi, wajah itu tidak menunjukkan sesuatu. Kosong seperti mereka tidak pernah mengenali. Atau mungkin hanya pelanduk dua serupa.
Daddy, ni kawan Adam kat sekolah, Mira.” Adam memperkenalkan Amira kepada Umarif.
Amira menghulur tangan kepada Umarif. Tangan Umarif diciumnya.
“Tak sangka pula anak saya dengan anak tauke restoran ni kenal. Kecil betul dunia ni, kan?” kata Hawa Alyana. Dia mengukirkan senyuman untuk Umarif.
“Emm, patutlah tadi Reesa lama kat meja ni,” kata Umarif seraya mengerling Reesa.
“Saya Hawa Alyana dan ini adik saya, Syarez. Ni... ”
“Oh, saya Umarif dan ni Reesa. Dah kenal, kan?” kata Umarif cepat.
Hawa Alyana mengangguk.
Syarez yang masih mematung tidak percaya. Takkanlah dia? Tapi, tadi katanya Reesa. Namanya memang ada Reesa. Reesa Aimee. Tapi, panggilannya dahulu Aimee. Dalam berpuluh juta rakyat Malaysia ni takkanlah hanya dia seorang yang bernama Reesa Aimee? Syarez menggelengkan kepala. Dia keliru. Syarez masih bersoal jawab dengan dirinya.
“Adam, jom. Mira nak makan. Adam pun belum habis makan lagi, kan?” ajak Reesa.
Adam mengangguk. Adam anak yang patuh. Jadi, dengan mudahnya dia berlalu ke mejanya sambil melambaikan tangan ke arah Amira.
“Kenapa tak sentuh pun makanan tu, Rez?” tanya Hawa Alyana.
“Nak makanlah ni,” kata Syarez.
Namun, matanya dilirikkan ke meja sebelah. Gelak ketawa yang perlahan dari meja sebelah mengganggu konsentrasinya. Dia menyuap juga makanan ke dalam mulut. Sedap, tetapi tidak dapat menghilangkan rasa keliru di hatinya.
Dia melihat keluarga bahagia itu berlalu. Cef yang bernama Umarif itu menghantar kedua-dua beranak itu hingga ke kereta. Membukakan pintu kereta untuk wanita yang bernama Reesa itu. Beralih pula kepada Adam. Mencium pipi Adam.
“Itulah kak long suruh Rez kahwin awal. Seronok tau bila dah ada anak. Tengoklah mereka kat luar tu. Rasanya dia orang tu sebaya atau hampir sebaya dengan Rez. Dia orang dah ada anak, tapi Rez dengan Suzy tak jadi apa-apa lagi.” Hawa Alyana memuncungkan mulutnya ke arah Reesa dan Umarif.
Dia perasan sejak tadi mata Syarez leka memandang mereka. Seronok barangkali melihat keluarga bahagia itu. Dia pun suka melihat telatah mereka tiga beranak. Asyik bergelak ketawa sahaja. Samalah seperti dia dan suaminya. Bezanya, mereka bertiga terpaksa tinggal berjauhan.
“Nak kahwinlah ni. Tapi, nak bagi umi terima Suzy dengan hati yang rela,” kata Syarez.
Dia mengukirkan senyuman buat kakaknya itu, walaupun hatinya tidak setenang sewaktu mula-mula datang ke restoran ini. Reesa, sepotong nama itu yang membuatkan hatinya tidak tenang.
“Alah, umi memang cerewet, tapi hati umi lembut,” balas Hawa Alyana.
“Yalah, Rez tahu. Tapi, dah dekat beberapa tahun ni, hati umi tu mana lembut? Kalau lembut dah lama umi terima Suzy dengan hati yang terbuka. Yang hairannya, bila jumpa Suzy dia memaniskan muka. Hipokrit betul!” luah Syarez.
“Sampai hati cakap umi hipokrit. Umi kita tu, Rez,” tegur Hawa Alyana.
“Rez tahulah... Tapi, kak long pun tak nafikan umi memang pandai berlakon,” kata Syarez lagi.
Hawa Alyana jongket bahunya. Dia menolong Amira menghabiskan spagetinya.
“Dah kenyang?” tanya Syarez kepada anak saudaranya itu.
“Dah. Kita boleh baliklah ya. Letihlah pula sebab makan banyak,” kata Amira.
Syarez dan Hawa Alyana hanya menggelengkan kepala melihat telatah Amira yang sedang mengusap perutnya. Nampaknya Amira berul-betul kekenyangan.
Syarez bangun untuk ke kaunter bayaran. Dia hampiri tauke restoran tersebut. Menghulurkan kad kredit kepada Umarif.
“Sila datang lagi ya,” kata Umarif sambil mengukirkan senyuman manis.
“Insya-Allah,” sambut Syarez.
Sepanjang perjalanan, mereka hanya mendiamkan diri. Hawa Alyana dengan caranya dan Amira pula asyik dengan tabletnya. Syarez masih berfikir lagi tentang wanita yang baru ditemui tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan