Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Selasa, 29 Disember 2015

Cik Pemanis Hati - Bab 4

Bab 4
“Tengok tu. Dialah si kacak yang aku cakapkan semalam.” Hana menunjuk ke arah lelaki berkemeja panjang berwarna hitam belang halus putih itu.
Lea terangguk-angguk sambil mulutnya terlopong luas.
Kalau kawan baik aku sudah terlopong habis tu, memang sah mata aku ni tak salah menilai paras rupa kacak ni, bisik hati Hana gembira.
“Masya-Allah... Kacaknya dia!” puji Lea sambil melekapkan kedua-dua tapak tangan ke hati. Sengihan gatal tu, usah cakaplah. Memang dah tersengih habis BFF dia ni!
Hana tersenyum. Matanya langsung tidak berganjak daripada memerhati Farouq yang sedang duduk makan bersendirian di sudut meja tepi di dalam restoran itu. Mereka berdua pula duduk selang dua meja saja dari meja Farouq. “Hah, kacak, kan? Itulah kau. Semalam aku dah cakap betul-betul dia ni kacak, tapi kau tak percaya pula. Macamlah mata aku ni rabun.”
Lea tersengih ke arahnya dengan muka tidak bersalah. Dia pandang wajah cemberut Hana itu. “Alah, aku ingatkan kau saja aje nak main-main dengan aku. Tapi, tak sangka apa yang kau cakapkan semalam memang betul, Hana. Dia memang kacak. Hot stuff ni wei!”
Nampak sekali keterujaan pada wajah Lea. Hana tersenyum bangga. Bangga kerana dia yang mula-mula dahulu melihat si kacak sebelum Lea.
“Bukannya hot stuff aje, dia ni terlebih hot and cold!” Hana mula memuji melangit gitu.
“Ada jugak nanti aku setiap hari pergi ke jabatan grafik tu. Demi si kacak Farouq.” Lea sudah mula berangan-angan. Begitu juga Hana.
Namun, sesaat kemudian, riak wajah Lea berubah menjadi serius. Dia memandang Hana yang masih berada di awangan. “Uits, Hana. Tapi, semalam kau cakap kau jumpa dua orang jejaka kacak iaitu Encik Farouq dan... siapa?”
Lamunan manis Hana terus terhenti mendengarkan pertanyaan Lea. Wajahnya terus berubah masam. Bibirnya siap mencebik lagi.
“Siapa kau tanya? Mr. Tak Ada Adab tu memang langsung tak ada adab, tau. Dia tu ibarat luar saja kacak, tapi dalamannya, sangat tak kacak, okey!” Hana mula menghamburkan rasa tidak berpuas hati dan marah tidak terhingga apabila memperkatakan tentang Mr. Tak Ada Adab. Habis nasi yang belum sempat dia masukkan ke dalam mulut hancur dicubit-cubit bagi melepaskan rasa geram.
“Semakin teringin pulak aku nak tengok Mr. Tak Ada Adab tu. Nak tengok kekacakan dia tu sampai tahap mana sehinggakan boleh bersikap tak ada adab macam tu kan.”
“Aku rasa dia tak kerja sinilah. Tapi, rasanya macam kenal aje.” Otak Hana mula ligat berfikir di manakah dia pernah nampak Mr. Tak Ada Adab.
“Agak-agaknya dia pekerja baru kot, Hana,” teka Lea penuh yakin.
Hana menggelengkan kepalanya tanda tidak bersetuju. “Tak mungkin, sebab cara pemakaian dia santai sangat. Takkanlah pekerja baru boleh pakai santai sangat macam tu, kan?”
Lea terangguk-angguk mengiakan kata-kata Hana. Ada kebenarannya juga di situ.
“Jadi, dia tu mungkin bukan pekerja dari syarikat ni. Mungkin dia cuma kenalan staf kat sini...” Hana mula terdiam sebelum duduk menegak dan kaku. Matanya sudah terbeliak habis.
Lea pula tidak sabar menanti kesimpulan daripada teman baiknya itu.
“Apa dia? Kau dah ingat ke kat mana kau jumpa Mr. Tak Ada Adab tu?” soal Lea penuh rasa tidak sabar.
Hana memandang Lea dengan mata bercahaya sebelum membuka mulut.
“Kau ingat tak semalam kita naik lif selepas lunch, ada seorang lelaki tu berdiri sebelah aku. Ermm... aaa... yang pakai minyak wangi Gucci Guilty tu. Patutlah semalam masa aku jumpa dia lagi tu, aku rasa macam pernah cium bau minyak wangi yang dia pakai. Rupa-rupanya lelaki yang sama masa naik lif tu,” jelas Hana penuh bersungguh-sungguh. Gayanya seolah-olah baru terjumpa pintu penyelesaian persoalan mengenai di mana dia pernah nampak Mr. Tak Ada Adab.
“Oh, dia! Si wangi penuh karisma tu. Dia naik tingkat lapan, kan? Siapa dia tu ek? Agak-agaknya klien kut.”
“Klien ke pakai santai gitu? Aku rasa dia kawan siapa-siapa kut kat tingkat lapan tu,” teka Hana pula.
“Kawan si Farah kut. Tapi, ofis Farah bukannya kat tingkat lapan.”
Hana tersentak mendengarkan tekaan Lea.
“Hisy... Kalau macam tu memang padan sangatlah mereka berdua tu. Seorang Miss Sombong Gila dan seorang lagi Mr. Tak Ada Adab.” Mudah benarlah Hana memadankan kedua-dua orang itu.
Lea terus tergelak.
“A’ahlah. Memang padan sangatlah. Huisy... Otak kau memang bijak bila nak bagi gelaran kat orang,” puji Lea sambil mengangkat ibu jari kanannya.
Hana terus tersengih bangga.
“Biasalah. Aku kan memang genius kalau nak bagi gelaran kat orang perangai macam tu,” ujar Hana penuh bangga. Amboi, bangga tak ingat!
“Alah... Encik Farouq dah habis makanlah. Baru nak naik lif sama-sama dengan dia,” keluh Lea penuh kehampaan.
Hana terus memandang Farouq yang sudah bangun dan bergerak keluar dari restoran itu.
“Bukan rezeki kitalah hari ni, Cik Lea oi. Itulah, sibuk sangat kita bercerita pasal Mr. Tak Ada Adab tu sampai tak makan-makan dari tadi.”
Ha... tak pasal-pasal aku menyalahkan si Mr. Tak Ada Adab dalam hal ni. Tapi, memang salah dia pun. Tak ada adab sangat sampaikan aku terlebih bercerita fasal dia. Huh, benci! Hana hanya membebel geram dalam hati.

Hana dan Lea terhendap-hendap cuba mengintai dari luar pintu pejabat jabatan grafik. Memang sudah tidak ada kerja lain yang mereka berdua lakukan selepas habis makan tengah hari tadi. Ini semua gara-gara tidak puas dan kecewa tidak dapat memandang lama kekacakan Farouq semasa makan tadi. Menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan intipan. Memang dah macam stalker kempunan wajah kacak dah mereka berdua ini!
“Kenapalah meja dia tak menghadap ke sini? Isy...” Lea mula merungut kecewa.
Hana pula sekejap toleh kiri, kanan dan belakang bagi memastikan perbuatan mengintai mereka tidak dilihat oleh orang lain. Mampus kalau sesiapa nampak. Mampus sebab malu dan segan. Isy, kau ni, Hana. Tahu pula malu dan segan, tapi nak juga mengintai si kacak ni. Agaknya keinginan di hati melihat Farouq terlebih sangat sampaikan sanggup singgah di tingkat empat itu gara-gara mahu memandang wajah Farouq lagi. Memang tak pernah puas pandang!
“Kenapalah aku tak apply kerja bahagian grafik aje dulu. Tak tahu pulak ada jejaka kacak macam dia ni muncul,” keluh Hana sambil menepuk kedua-dua belah pipinya sebanyak dua kali. Nampak sungguh kekecewaan pada wajah bujur sirihnya itu.
Lea menjeling kejap. “Macamlah kau tu ada lulusan grafik!”
Amboi, sedapnya mulut mengata aku, BFF aku yang gebu ni!
“Alah... Aku cakap aje. Aku taulah memang tak akan dapat punya.”
“Tau tak apa,” balas Lea selamba.
Hana mencebik. Tak boleh diharap BFF ni. Makin tercalar perasaan aku. Nasib baik Lea BFF yang paling aku sayang dan aku memang tahu dia tak berniat cakap begitu pun sebab hati Lea memang baik sangat. Itu yang aku sayang sangat kat si gebu ni.
“Apa yang best sangat kat dalam tu sampai terintai-intai begini?”
Tiba-tiba mereka berdua dikejutkan dengan kemunculan seorang wanita tua berpakaian penuh gaya di sebelah Hana. Wanita itu turut tunduk mengintai ke dalam pejabat grafik. Hana dan Lea masing-masing tergamam habis dan sampai terbeliak mata apabila melihat siapa yang menegur. Mereka berdua terus berdiri mematung di hadapan wanita tua itu.
Di sisi wanita tua itu terdapat seorang lelaki berpakaian kemas. Lelaki itu siap berdeham beberapa kali sambil membesarkan mata memandang mereka. Wanita tua tadi sudah berdiri tegak memandang mereka berdua.
“Kamu berdua ni dari jabatan mana?” soalnya sambil memandang mereka berdua satu per satu.
Hana dan Lea saling bertukar jelingan. Jelingan tanda berbincang siapa yang harus menjawab soalan CEO Adam Group iaitu Tengku Dahlia! Lea cepat-cepat menundukkan muka buat-buat tidak faham akan jelingan Hana. Hana mengeluh berat dalam hati. Aku juga yang kena jawab!
“Pentadbiran, Tengku,” jawab Hana dengan jiwa penuh kacau. Aku lebih rela kantoi ditangkap menghendap oleh orang lain, kecuali bos besar ni! Isy, memang hari ni bad day!
“Ooo... Jadi, kamu berdua buat apa kat sini? Rasanya ada satu minit lagi masa lunch nak habis,” ujar Tengku Dahlia sambil memandang sepintas jam tangan emas Cartier di pergelangan tangan kirinya.
“Aaa... Kami nak cari kawan kami, tapi macam tak ada aje. Kami memang nak balik ofis dah sekarang ni. Kan, Lea?” Hana cuba meminta bantuan Lea bagi menjayakan lakonan palsu yang dicipta.
Lea terus mengangkat muka. Wajahnya nampak sangat cemas. Isy, Lea ni, ketara sangatlah cemasnya.
“Be... Betul tu, Tengku! Kami nak balik ofis sekarang. Kami minta diri dulu ya.” Sebaik saja menghabiskan ayatnya yang sedikit menggeletar itu, Lea terus menarik tangan Hana. Laju saja kaki mereka melangkah pergi dari situ.
Tengku Dahlia hanya mengeluh sambil geleng kepala melihat kerenah dua orang pekerjanya itu sebelum masuk ke jabatan grafik bersama Samad, setiausahanya.
“Huisy... Terkejut sampai nak mampus aje aku tengok Nek Garang tu muncul tiba-tiba. Macam mana boleh tak sedar dia datang, eh? Eh, bukan kau ke yang tengok kiri kanan dan belakang semua nak pastikan tiada siapa?”
Hana mengeluh kecil. Ketika itu mereka berada di kawasan tangga tingkat empat. “Yalah, leka sangat bercakap dengan kau, memanglah aku tak pandang kiri, kanan dan belakang dah. Dahlah, lebih baik kita balik ofis sekarang. Entah-entah Nek Garang tengah buat pemeriksaan kat semua jabatan. Mampus kita kalau dia tak nampak kita kat ofis lagi.”
Hana sudah mula berlari menaiki tangga ke tingkat lima. Mahu tidak mahu Lea mengikut dari belakang.
“Hana, tunggu akulah, woi. Senak perut aku ni ha,” beritahu Lea lalu berhenti di anak tangga kesepuluh.
Tangan kirinya memaut erat sisi besi pemegang tangga. Dia sudah tercungap-cungap keletihan. Huh, padan muka aku. Siapa suruh tak bersenam sekurang-kurangnya empat kali seminggu? Sekali pun tak pernah, sebab itulah cepat sangat penatnya. Kaki pun rasa macam tak cecah lantai aje ni. Dahlah badan aku ni berat, manalah mampu kaki aku yang kecil daripada badan ni menampung keberatan melampau ni? Insaflah, wahai Lea. Berhenti makan sebelum kenyang. Sempat lagi Lea bermonolog dalam hati mengenangkan nasib badannya.
Hana menoleh ke arah Lea. Dia sudah sampai ke tingkat lima dan baru saja mahu menolak pintu ketika teman baiknya itu memanggil. Hana geleng kepala sebelum menuruni tangga semula mendapatkan Lea.
“Jomlah!” ajak Hana lalu memegang lengan Lea dan menariknya.
Mahu tidak mahu Lea menaiki tangga satu per satu dengan bantuan Hana. Akhirnya sampai juga mereka di atas. Hana menolak pintu. Mereka berdua bergegas ke jabatan pentadbiran. Baru saja masuk ke ruang pejabat itu, Puan Iman sudah menunggu dengan bercekak pinggang.
Hana dan Lea terus berhenti di depan Puan Iman dan kaku di situ. Manalah berani nak terus ke meja kerja. Ada juga kena jelingan maut Puan Iman nanti.
“Awak berdua kenapa lambat masuk pejabat? Kau orang tahu tak Tengku Dahlia datang sini tadi dan dapat tahu ada pekerja yang tak masuk lagi? Tahu tak pekerja yang mana?”
Hana dan Lea terkesima mendengarkan kata-kata Puan Iman.
Tengku Dahlia datang ke pejabat? Cepatnya kaki Nek Garang tu sampai ke sini padahal aku dan Lea yang pergi dulu tadi. Dia tu ada kuasa kaki kuda ke apa?
“Aaa... Kami berdua pergi tandas tadi. Buang air besar. Kan, Lea?” Hana memandang Lea yang kelihatan gelisah.
Lea cepat-cepat mengangguk kepala tanda mengiakan.
Puan Iman menghembus nafas berat. Nampak sekali dia tidak dapat menerima jawapan basi dua orang staf jabatan pentadbiran itu. Nampak sangat berbohong. “Dua-dua sekali ke buang air besarnya? Apa yang kau orang berdua makan sampai dua-dua pun nak membuang?”
Adeh. Sinis sekali soalan berbakul-bakul emas Puan Iman itu. Kalau dia dah bertanya begitu, tolonglah jangan menjawab panjang.
“Ya, Puan Iman. Makan banyak sangat makanan pedas tadi,” bohong Hana lagi. Riak muka pula memang nampak sekali tidak bersalah.
Adui, terpaksa berbohong demi terlepas daripada dibebel oleh Puan Iman. Tolonglah jangan sesiapa pun terikut akan sikap tidak cantiknya ini. Ya ampun, selepas ni aku tak akan berbohong lagi. Ha, dah terkeluar dah bahasa sinetron aku.
Lea pula hanya menundukkan muka. Takutlah tu nak menghadap Puan Iman yang garang persis singa.
“Dahlah. Malas saya nak membebel lama-lama. Bukannya kau orang berdua ni nak simpan nasihat saya tu dalam kepala tu. Perhabiskan air liur saya aje,” rungut Puan Iman.
Tertelan air liur Hana dan Lea mendengarkan kata-kata berbisa Puan Iman.
“Kami nak minta maaf lagi, puan. Kami janji tak akan lambat lagi,” ujar Hana bagi menamatkan bicara penuh bebelan sinis itu. Tidak sanggup rasanya mendengar bebelan percuma seperti kebiasaannya. Banyak lagi kerja yang sedang menunggu untuk disiapkan.
“Betul tu, puan. Kami janji tak akan lambat lagi,” kata Lea bagi meyakinkan ketua mereka itu.
Puan Iman mencebik lalu mendengus kecil. “Janji tu kena ditepati. Kalau tak, berdosa. Terutamanya awak tu, Hana. Entah sampai bilalah awak tu nak datang awal ke pejabat. Asyik lambat aje. Tak solat subuh ke? Kalau ada bangun solat subuh selalunya terus bersiap untuk pergi kerja.”
Gulp. Hana sudah tertelan air liurnya. Berdesing juga telinganya disoal begitu. Terkena juga ke dasar hati.
“Errr... Saya bangun solat subuh, puan. Tapi, lepas tu saya sambung tidur sekejap. Hehehe.” Di hujung ayat, Hana gelak satu-satu. Gelak segan.
Puan Iman mengeluh. “Hesy, apalah nak jadi kat awak ni Hana. Cubalah atur masa tu supaya awak tak lambat datang kerja. Ke awak nak kena kick dari syarikat ni baru awak nak sedar?”
Hana terdiam. Tidak mampu berkata apa-apa untuk membidas kata-kata Puan Iman yang sememangnya benar itu.
Lea pula memandang tepat Hana dengan pandangan simpati. Kasihan pula dia terhadap kawan baiknya yang selalu dimarahi di hadapan kawan sekerja yang lain. Tapi, apa boleh buat? Salah Hana juga. Siapa suruh dia selalu lambat datang kerja, kan dah kena.
“Maaf, puan. Insya-Allah, saya tak akan datang lambat lagi,” janji Hana dengan nada kurang yakin. Kurang yakin akan janjinya sendiri.
Tapi, dah janji jangan pula nak bagi malu muka sendiri. Jadi, Hana, kau kena kunci jam setiap lima minit. Itu pun kalau sedar ya. Atau bak kata Puan Iman baru sebentar tadi, jangan tidur selepas solat subuh. Boleh ke? Cubalah Isnin depan ya. Esok tak pergi kerja pun, sebab hari Sabtu. Sabtu dan Ahad kan cuti. Bolehlah tidur sepuas-puasnya. Weeehuuu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan