Pakej Julai 2016

Pakej Julai 2016

Isnin, 28 Disember 2015

Dudaku Suamiku - Bab 5

Bab 5
SYAREZ menyelongkar semula barang-barang lamanya. Mencari jikalau ada sekeping gambar yang boleh disamakan dengan wanita yang ditemui petang tadi. Tiada. Huh! Kenapalah aku bodoh sangat pergi buang semua gambar-gambar itu? Syarez meraup wajahnya. Dia duduk di atas kerusi di hujung katilnya. Badannya direbahkan pada kepala kerusi itu. Lengannya diletakkan di atas dahinya.
“Maaf, Aimee, saya rasa sampai setakat ini sahaja perkahwinan kita,” kata Syarez.
Aimee yang mendengar menangis teresak-esak. Tidak disangka pada ulang tahun setahun perkahwinan mereka Syarez akan menuturkan kata-kata pahit itu. Cukup payah untuk dia menerima kenyataan itu.
“Kenapa? Kita tak pernah ada masalah pun?” tanya Aimee dengan rasa yang tidak dapat digambarkan. Dia memandang Syarez dengan pandangan sedih.
“Saya tak dapat mencintai awak. Cinta saya untuk Suzy lebih kuat,” kata Syarez lagi. Sungguh dia tidak mahu menipu dirinya atau Aimee lagi. Buat apa meneruskan jika hatinya sudah kosong?
Aimee terduduk apabila nama Suzy dikaitkan. Wanita cantik itu adalah bekas kekasih Syarez sebelum mereka berkahwin. Pertemuan yang terjadi antara Aimee dan Syarez berlaku apabila Aimee memulangkan kad kredit yang ditinggalkan oleh Syarez di kaunter pasar raya. Perkenalan yang singkat itu membawa mereka ke jenjang pelamin. Mereka tidak pernah berahsia pasal diri masing-masing. Sepantas kilat pertemuan mereka dan sepantas kilat juga mereka berkahwin. Sekarang mahu bercerai pula.
Sangka Syarez selepas perkahwinan dia boleh melupakan cintanya untuk Suzy, namun cintanya itu tetap kuat untuk Suzy. Pertemuan semula dengan Suzy selepas dua tahun berpisah membibitkan semula cinta yang memang sentiasa ada dalam hatinya. Mereka mula keluar bersama, seterusnya hingga membawa kepada perceraiannya. Walaupun dia tahu Aimee akan terluka, tetapi Syarez terpaksa mementingkan dirinya. Mereka akan terus terluka andai terus bersama.
Buat apa mahu diingat lagi? Entah-entah wanita itu bukannya Aimee, bekas isterinya itu. Tadi sewaktu bertemu tentulah dia sudah mempamerkan wajah terkejut. Tapi, riak wajah Reesa biasa sahaja. Seolah-olah tidak mengenalinya. Cuma dia sahaja yang terbawa-bawa sampai ke rumah. Peninglah kalau macam ni.
“Adam Syarez! Wake up!” Dia menjerit kepada dirinya sendiri.
“Siapa dia tak penting. Let bygones be bygones!” Syarez berkata kepada dirinya lagi.
Yang hairannya kenapa dia masih mahu mencari kebenaran tentang Reesa? Kalau ya pun Reesa bekas isterinya, bukannya boleh buat apa-apa pun. Dia sudah berkahwin dan sudah mempunyai anak pun. Kalau difikirkan lagi juga, Reesa memang tak boleh hidup tanpa lelaki. Walaupun dia mencintai Suzy, tetapi mereka masih belum berkahwin. Itu yang membezakan mereka berdua.
Dahulu merayu-rayu tidak mahu diceraikan. Tapi sekarang, dia yang berkahwin dahulu. Syarez mencebikkan bibirnya. Dia bangun lantas berjanji kepada dirinya sendiri. Suzy yang lebih penting.

Syarez memberhentikan BMW X6nya. Suzy melenggok menghampirinya. Pintu kereta dibuka.
Hon... rindulah!” kata Suzy. Pipi Syarez segera didaratkan ciumannya. Lama sekali.
“Lama lagi ke? Nak duduk dalam kereta aje?” tanya Syarez bergurau.
Hon ni saja tau. Dear rindulah.” Suzy melepaskan satu ciuman lagi di pipi Syarez.
Syarez ketawa gembira. Mananya dia tak suka dengan ciuman Suzy. Kalau mereka sudah berkahwin tentulah lain ceritanya. Ringan-ringan, tak salah, desis hatinya. Kalaulah umi tahu, mahu muncung sudip melekat di atas kepalanya. Syarez tersenyum sendiri bila mengenangkan uminya.
“Dah habis ke shooting drama tu?” tanya Syarez.
“Dah habis kat sanalah. Tapi, kat sini masih ada dalam 30 peratus lagi. Tapi, semuanya dalam area sini aje,” jawab Suzy.
“Bila nak habis? Kita janji nak tunang, kan?” tanya Syarez lagi.
“Drama ni atau job dear?” tanya Suzy pula.
Joblah, dear.”
Suzy berhenti berkata. Dia seperti memikir. Lama dia bermain-main dengan dagunya.
Dear... panggil Syarez manja.
“Hmm...” Suzy mempermainkan hati Syarez yang semakin tidak sabar untuk mendengar jawapan Suzy. Suzy melepaskan tawanya.
“Dah habis! So, bila nak adakan majlis pertunangan tu?” tanya Suzy sambil mengangkat keningnya berkali-kali.
“Betul?” Syarez terjerit.
Suzy anggukkan kepalanya.
“Bulan depan. Beritahu mama dear.”
Suzy anggukkan kepalanya lagi. Betapa dia gembira kerana bulan depan mereka akan bertunang. Maknanya selepas ini dia tidak perlu lagi menyembunyikan siapakah kekasih hatinya. Susah sungguh mahu menyembunyikan perkara itu. Jika mahu berjumpa pula kena sorok-sorok. Suzy tidak mahu semua itu. Suzy suka semua peminatnya tahu.

“Kita makan sinilah. Gisele cakap makanan sini sedap.”
Syarez memandang nama restoran itu. Mi Paloma. Kenangan seminggu lepas menerjah dalam mindanya. Minta-mintalah Reesa tiada lagi di situ.
Mereka duduk jauh sedikit daripada orang ramai. Syarez melilau mencari wajah itu. Mana tahu dia ada? Lagipun ini adalah restoran suaminya. Pelanggan tidak ramai malam ini. Tiba-tiba matanya tertancap kepada seorang budak lelaki yang sedang membuat kerjanya sendiri. Entah apa yang dilakukannya, begitu khusyuk sekali.
Matanya melihat ada sebatang pensel warna yang bergolek menghampiri meja mereka. Syarez menahan dengan kakinya supaya pensil warna itu tidak pergi lagi jauh. Syarez mencapainya, lalu diserahkan kepada budak lelaki itu.
“Terima kasih, uncle. Kalau tidak mesti mummy tak nak beli dah,” kata Adam.
“Sama-sama. Mana mummy Adam?” tanya Syarez. Dia melingas ke merata tempat.
Mummy ada kerja di mana entah. Adam lupa. Dah dua hari mummy pergi dengan ibu. Adam kena tinggal dengan daddylah.” Jujur Adam bercerita.
“Adam kena pergi. Daddy dah pesan tak boleh cakap dengan orang asing. Tapi, Adam ingat lagi, uncle datang dengan Amira hari tu. Jadi uncle bukan lagi orang asing dengan Adam,” ujarnya terus berlalu.
Suzy yang mendengar mengangkat keningnya. Siapa Amira?
“Siapa Amira tu?” tanya Suzy mula tidak senang duduk. Dia merenung Syarez.
“Anak kakak honlah. Kenapa, dear ingat orang lain ke?” Syarez senyum.
“Tak tahu pula anak kakak hon namanya Amira,” kata Suzy.
“Dia orang baru aje balik sini. Dulu tinggal di Dubai. Dear juga yang sibuk, tak sempat nak jumpa dengan kak long. Nantilah kita ke rumah dia,” ujar Syarez.
Syarez menggelengkan kepalanya. Hatinya suka apabila Suzy cemburu dengan nama-nama perempuan. Itu sudah boleh menentukan setakat mana sayangnya. Jika tiada cemburu tentulah tiada rasa sayang.
           
UMARIF menghampiri Adam yang sedang asyik melihat buku-bukunya. Dia segera melabuhkan punggungnya di sisi Adam.
Mummy’s on the way,” beritahu Umarif kepada anak angkatnya itu.
Adam segera memanggungkan kepalanya. Dia mengukirkan senyuman untuk Umarif.
“Adam rindu mummy. Kalau boleh Adam tak nak mummy kerja jauh-jauh,” kata Adam.
Mummy cakap apa kalau dia sibuk kerja?” tanya Umarif.
“Nak bagi Adam belajar,” jawab Adam sambil senyum lagi.
Umarif menggosok kepala Adam. Rambut Adam jadi berserabut. Adam segera memasukkan buku-buku, kotak pensel dan pensel warnanya ke dalam beg. Bimbang tertinggal di sini.
Daddy, beg baju Adam?” tanya Adam.
Daddy letakkan dalam kereta. Nanti bila mummy dah sampai daddy ambil beg tu.” Telefon yang berdering membuatkan Umarif yang masih lagi mahu bercakap dengan Adam terhenti. Dia segera melekapkan telefon itu ke telinganya. “Okey. Dia dah siap semua barang dia.”
Tangan Adam segera dicapai. Mereka berdua melangkah keluar dari restoran. Umarif menggamit pekerjanya. Pekerja itu segera faham. Dia keluar dengan membawa plastik yang berisi Tupperware.
Mummy... ” Adam berlari memeluk mummynya.
Reesa mencium pipi anak kesayangannya bertalu-talu. Hinggakan Adam mula meronta-ronta. Reesa memang gemar melakukannya jika banyak hari dia terpaksa meninggalkan Adam.
Mummy... gelilah. Mummy... Adam rindu mummy.”
Mummy pun. Tapi tulah, Adam tak bagi mummy sayang Adam banyak-banyak,” kata Reesa pura-pura merajuk. Wajahnya dimasamkan. Pura-pura sedih.
Mummy, Adam minta maaf... ” Adam segera memeluk Reesa. Sangkanya Reesa sedih kerana dia menolak Reesa tadi.
Umarif yang melihat kemesraan itu disimbah dengan kebahagiaan. Cukuplah dua beranak itu berada dekat dengannya. Dia sudah cukup bahagia.
“Abang, terima kasih sebab jaga Adam,” ucap Reesa, lahir daripada hatinya yang tulus.
“Dia anak abang juga,” balas Umarif pula.
Reesa ketawa. Tangannya segera mencapai beg plastik yang diberikan oleh Umarif. Reesa sudah sedia maklum dengan perangai Umarif yang suka sangat memberi makanan kepadanya.
“Terima kasih, abang. Lepaslah Reesa malam ni nak memasak. Letih betul, drive sorang aje. Gisele asyik tidur sebab demam,” beritahu Reesa.
“Kenapa tak cakap tadi? Boleh abang masakkan bubur untuk dia.”
“Reesa balik rumah dahulu. Dia tak larat sangat. Dia dah makan bubur, Reesa buat sebelum datang sini. Nak makan ubat kena juga makan. Reesa balik dululah. Abang, terima kasih sekali lagi.” Reesa ukirkan senyuman buat Umarif.
Umarif mengangguk.
Daddy, Adam balik dulu. Terima kasih.” Adam mencium tangan Umarif.
Umarif senyum. Sebagaimana Reesa suka mengucapkan terima kasih begitu jugalah anaknya. Untuk Reesa dan Adam ada pepatahnya. Ibu borek anak rintik.
Reesa menekan hon kepada Umarif. Umarif melambaikan tangannya.

Hon tengok apa?” tanya Suzy apabila dia perasan Syarez asyik memandang ke luar. Dia juga menoleh ke ke luar. Tiada apa-apa pula. Kalaupun tengok kereta, dalam semua kereta di situ kereta dia yang paling hebat.
“Tak ada apa-apalah. Saja aje tengok orang lalu-lalang,” ujarnya. Entah kenapa mata Syarez bagai ditarik-tarik untuk melihat gelagat keluarga itu. Bahagia. Nanti dia dan Suzy juga akan begitu. Dia tersenyum tiba-tiba.
Hon, jangan main-main, hon. Senyum sorang pula.” Suzy mula tidak senang duduk dengan gelagat kekasih hatinya.
“Kita kahwin cepat. Cepat pula kita ada anak,” kata Syarez.
Suzy menelan liurnya. Mana boleh ada anak dalam jangka waktu yang terdekat ini? Dia mahu membina kerjayanya lagi. Bukan membina kerana kerjayanya sudah membina, tapi mengembangkan lagi. Tapi, bolehkah dia mengandung?
“Alah, hon, kita kena habiskan masa berdua dulu. Lepas tu baru ada anak,” kata Suzy perlahan. Takut menanti reaksi Syarez.
“Kenalah cepat, dear. Hon bukannya muda lagi. Tahun depan dah 33 tahun. Dah tua tu,” kata Syarez.
Persoalan mereka mula memberat ke arah kehidupan berkeluarga. Jika berkahwin tentulah kena ada anak. Tiada maknanya berkahwin jika masih mahu berdua-duaan.
“Kita tunggu dan lihat ya?” Akhirnya Suzy pasrah.
Syarez senyum lagi. Kali ini senyumannya itu untuk Suzy.

DI dalam kereta Suzy hanya mendiamkan diri. Dia terlalu takut memikirkan perbualannya dengan Syarez tadi. Mungkinkah rahsia yang disimpan selama ini akan terbongkar?
Jika Syarez mahukan anak, sudah pasti rahsianya itu akan diketahui. Hanya Gisele sahaja yang tahu. Marina hanya tahu sikit-sikit sahaja. Kalau boleh dengan Gisele pun dia akan rahsiakan, tetapi bila perkara itu melibatkan ahli keluarga Gisele juga, tentulah Gisele tahu. Sepupu Gisele pun sudah membina hidup baru. Selepas dilahirkan anaknya itu, diserahkan kepada keluarga angkat.
Suzy memegang kepalanya. Dia tidak mahu kehilangan Syarez buat kali kedua. Dia mahu Syarez bersama-samanya hingga ke akhir hayat.
Dear, tak sihat ke?” Syarez bimbang apabila sejak tadi Suzy cuma diam. Dan, dilihatnya Suzy memegang kepalanya.
“Hmm... Dear rasa pening sikit. Makan banyak sangat kut.” Dia berdalih. Tidak mahu Syarez bertanya yang bukan-bukan.
Syarez terus diam. Mungkin Suzy masih keletihan. Lebih baik dia membiarkan Suzy melayan perasaannya. Sesekali ketika memandu itu Syarez memandang ke sisinya. Melihat Suzy yang memejamkan matanya dia tahu Suzy memang tak berapa sihat.
Ketika mereka tiba di rumah Suzy terus memohon diri untuk berehat. Dia ternyata pening memikirkan kata-kata Syarez di restoran tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan